Solat Istisqa’ peringkat kerajaan negeri Kedah, esok 

- Advertisement -

ALOR SETAR: Rakyat Kedah khususnya yang menetap di sekitar parlimen Pokok Sena dijemput untuk bersama-sama menyertai solat sunat Istisqa’ (mohon hujan) yang akan diadakan pada esok Khamis, 28 Mac.

Program anjuran kerajaan negeri Kedah itu akan diadakan pada jam 8.30 pagi di dataran Masjid An-Nur, Pokok Sena.

Menteri Besar, Dato’Seri Muhammad Sanusi Md Nor melalui pautan di media sosialnya berkata, beliau berharap rakyat Kedah terutama yang berada berhampiran lokasi program tersebut, dapat hadir beramai-ramai memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan khususnya di kawasan yang agak kritikal.

- Advertisement -

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan, aamin,” ujar beliau. 

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar,  Mohammad Yusoff@Munir Zakaria dalam sidang medianya pada 20 Mac lalu berkata, beberapa kawasan termasuk Langkawi menghadapi keadaan yang agak kritikal apabila hujan tidak turun sejak musim kemarau tiga bulan lalu. 

Keadaan itu telah menyebabkan paras air di Empangan Bukit Malut di Langkawi berada pada tahap agak kritikal iaitu 67.46 meter dan menyebabkan  4,732 daripada 33,219 akaun akan terjejas.

Berikutan itu kerajaan negeri melalui mesyuarat Exco minggu lalu telah bersetuju mengadakan solat sunat Istisqa’ khususnya di tempat-tempat yang tidak menerima hujan. 

“Walau bagaimanapun, takungan Empangan Pedu yang berada ditahap 71.46 peratus dan takungan Muda (42.2 peratus) masih mampu membekalkan air untuk kegunaan Loji Rawatan Air (LRA) sehingga hujung tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -