Kedah teroka empangan bawah tanah menjelang 2028

Mohd Yusoff @ Munir Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Bermatlamat bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi berikutan cuaca panas berterusan di Kedah, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) bertindak membuat kawalan pelepasan air dari empangan bagi menstabilkan operasi muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria (PAS-Kuala Nerang) berkata, setakat ini, bekalan air di Kedah masih stabil di mana enam empangan utama terus berfungsi membekalkan air ke sektor-sektor terbabit.

- Advertisement -

“Enam empangan utama iaitu Empangan Muda, Empangan Ahning, Empangan Beris, Empangan Bukit Malut dan Empangan Padang Saga, setakat ini terus berfungsi membekalkan bekalan air mentah ke sektor domestik, industri dan pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Teh Swee Leong (DAP-Kota Darulaman) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Swee Leong melalui soalan lisannya memohon penjelasan apakah tindakan kerajaan negeri untuk memastikan sumber air mentah di Kedah mencukupi bagi berhadapan dengan cuaca panas yang berterusan.

Terdahulu kata Munir, LSANK telah membuat permohonan kepada Kementerian Peralihan Tenaga Dan Daya Guna Awam bagi cadangan pembangunan 27 kolam takungan air pinggiran sungai (TAPS) di kawasan dikenalpasti.

“Permohonan itu sudah diluluskan tetapi perlaksanaannya belum bermula. 27 tapak TAPS berkeluasan lebih 1,558,960 meter persegi dan mampu menampung air sebanyak 28.03 juta meter padu apabila dimajukan nanti,” tambah beliau.

Dalam pada itu, jelasnya lagi, pembinaan TAPS dan projek naik taraf Empangan Padang Saga, termasuk pembinaan empangan bawah tanah di Langkawi, antara cadangan Bahagian Bekalan Air (BBA) untuk memastikan sumber air mencukupi di negeri itu.

Masalah mendapan, sepertimana dibangkitkan oleh Dato’ Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Tokai), kata beliau, tidak akan berlaku seperti kejadian di Jakarta, Indonesia.

“Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim) sudah membuat kajian selain mengambil kira semua faktor termasuk kawasan dikenal pasti untuk dibangunkan dengan projek seumpamanya.

“Malah, projek yang akan dilaksanakan pada 2028 di Padang Mat Sirat, Langkawi itu tidak membabitkan kawasan yang didirikan bangunan,” jelasnya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai pada soalan tambahannya menzahirkan kebimbangannya akan implikasi dan risiko mendapan seperti di Jakarta kerana banyak menggunakan sumber air bawah tanah selain pemanasan global menyebabkan ibu kota itu bakal tenggelam.

“Projek perintis ini menelan belanja sebanyak RM453 juta dengan kapasiti 50 juta liter padu air dapat dibekalkan. Kawasan yang terlibat bukan membabitkan kawasan bangunan, jadi kita percaya tidak timbul risiko mendapan.

“Walau bagaimanapun saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan, bagaimanapun pihak berkuasa sedang kaji secara terperinci untuk melaksanakan projek ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -