Bakri dilantik Ahli Lembaga Pengarah TDM Berhad

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif kepada syarikat perladangan milik Kerajaan Negeri Terengganu, TDM Berhad.

Perkara itu dinyatakan syarikat tersenarai awam itu dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia dan dimuat naik ke laman sesawang bursa tersebut pada Selasa.

- Advertisement -

“YB (Yang Berhormat) Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin memulakan kerjaya bersama Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) pada 1985 sebagai ‘Cadet Planter’ dan bersara sebagai Pengurus Besar Kanan pada 2019.

“Beliau berpengalaman hampir 34 tahun dalam industri sawit dan bidang berkaitan pertanian seperti getah, kopi dan koko di Semenanjung Malaysia dan Indonesia,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, Bakri berpengalaman selama 19 tahun di Semenanjung Malaysia (Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan) dan 15 tahun pengalaman di Indonesia (Riau, Kalimantan Timur dan Jakarta) sewaktu berkhidmat dengan KLK.

Menurut kenyataan itu lagi, beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dari Jun 2020 hingga September 2021 dan Pengarah Urusan Danum Sinar Sdn. Bhd., anak syarikat Puncak Niaga Holdings Berhad dari Januari 2022 hingga Oktober 2022.

“Beliau ialah Ahli Jawatankuasa Dispute Resolution Committee of the Malaysia Palm Oil Certificate Council mulai Julai 2020 dan Gabungan Asosiasi Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI Kalimantan Timur) dari 2014 hingga 2016. 

“Beliau juga pernah menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Utama Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) dari Februari 2021 hingga November 2021,” tambah kenyataan itu.

Kenyataan  berkenaan turut berkata, Bakri  juga ialah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif TH Plantations Berhad sejak 2 Januari 2022.

Sementara itu, Bakri ketika ditemui HarakahDaily di bangunan Parlimen Malaysia pada hari ini mengucapkan terima kasih kepada pihak TDM Berhad atas pelantikan tersebut.

“Saya berbesar hati untuk sama-sama berada di dalam teraju kepimpinan sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat ini yang telah wujud semenjak 1965 dan disenaraikan di BSKL ketika itu pada tahun 1970.

“Harapan saya dengan pelantikan ini saya dapat menyumbang tenaga dan buah fikiran saya dalam memajukan syarikat ini seperti amanah yang saya lakukan di Tabung Haji Plantation pada masa ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan komitmen bagi mencurahkan segala kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang perladangan demi untuk meningkatkan keupayaan TDM Berhad dalam menjana hasil yang lebih baik sama ada dari sudut produksi mahupun keuntungan.  – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -