Muhyiddin pernah beri peruntukan kepada semua MP

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah memberi peruntukan kepada semua Ahli Parlimen (MP) termasuk pembangkang semasa beliau menjadi Perdana Menteri (PM).

- Advertisement -

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, ia bertentangan dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, beliau telah membangkitkan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) terhadap Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini kerana kenyataan tersebut yang telah mengelirukan Dewan.

Peraturan Mesyuarat 36 (12) menyatakan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

“Yang Berhormat Pagoh telah menghulurkan bantuan bakul makanan berjumlah RM300,000 di bawah ICU, Jabatan Perdana Menteri.

“Bukan sahaja kepada Ahli Dewan Rakyat, tapi kepada semua Ahli Dewan Negara ketika itu, pembangkang mahupun kerajaan, tanpa sebarang rundingan mahu pun CSA (perjanjian keyakinan dan perbekalan),” ujar beliau.

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Ramli Mohd Nor dalam keputusannya meminta agar Ahmad Fayhsal mengemukakan usul ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Perkara 43 dalam tempoh 48 jam.

“Keputusan terikat dengan (peraturan) 43, Yang Berhormat ada 48 jam. Tolong buat usul ketidakpuasan itu. Benda tu, insya-Allah boleh dibawa. Tetapi dalam tempoh 48 jam. Itu saya punya pandangan dan pesan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -