Kapal rempuh jambatan Baltimore: Mayat ditemui

Mayat telah ditemui di lokasi kejadian di Pelabuhan Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat pada 27 Mac 2024. (FOTO: Business Insider)
- Advertisement -

BALTIMORE: Enam pekerja hilang dan dianggap mati apabila jambatan runtuh di Pelabuhan Baltimore awal Selasa (26 Mac), waktu tempatan selepas dirempuh sebuah kapal kargo besar yang menyebabkan  penutupan salah satu pelabuhan paling sibuk di timur negeri Maryland, Amerika Syarikat itu.

Ahli Majlis Bandar Baltimore Phylicia Porter berkata pada hari ini (27 Mac), satu mayat  telah ditemui, namun lima yang lain masih hilang, dan pencarian diteruskan semula di lokasi kejadian, lapor CNN.

Pengawal Pantai AS dan Polis Negeri Maryland dalam satu kenyataan bersama semalam, menurut Reuters berkata, pasukan penyelam bergelut dengan keadaan yang semakin berbahaya di perairan yang gelap, menyebabkan operasi mencari dan menyelamat ditunda kira-kira 18 jam selepas kemalangan tersebut.

- Advertisement -

Pengawal Pantai Laksamana Muda Shannon Gilreath dalam kenyataannya berkata, tiada harapan untuk mencari pekerja yang hilang masih hidup kerana air yang sejuk dan tempoh masa berlalu sejak kemalangan itu.

Insiden itu membabitkan sebuah kapal kontena berbendera Singapura dengan nama Dali, yang menuju keluar dari Pelabuhan Baltimore menuju ke Sri Lanka, sebelum merempuh tiang sokongan Jambatan Kunci Francis Scott di muara Sungai Patapsco pada kira-kira jam  1:30 pagi (0530 GMT), Selasa.

Jambatan sepanjang 2.57 km hampir serta-merta renyuk  dan jatuh ke dalam air berais, menyebabkan beberapa kenderaan dan orang ramai jatuh ke dalam sungai.

Pasukan penyelamat menyelamatkan dua mangsa yang terselamat, seorang daripadanya dimasukkan ke hospital. Mereka dan enam yang hilang adalah sebahagian daripada kru kerja yang mengisi lubang di permukaan jalan jambatan tersebut.

Setiausaha Pengangkutan AS, Pete Buttigieg berkata, penutupan salah satu lorong perkapalan paling sibuk di negara itu sehingga notis selanjutnya akan memberi impak besar dan berlarutan kepada rantaian bekalan barangan.

“Pelabuhan Baltimore mengendalikan lebih banyak kargo kereta berbanding mana-mana pelabuhan AS yang lain – lebih daripada 750,000 kenderaan pada 2022,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -