Fahaman politik sempit rugikan bangsa sendiri

Haim Hilman Abdullah
- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Haim Hilman Abdullah, bersedia didakwa sekiranya menyebut hal-hal berkaitan politik dalam ucapan motivasinya di sebuah sekolah menengah di Jerlun, baru-baru ini.

Katanya, beliau kesal kerana sikap golongan yang dilabelkan sebagai ‘the little nepoleon’ bertindak serta berperanan menyekat dan menafikan hak sesebuah negeri dan bangsa, khususnya berbeza fahaman politik. 

- Advertisement -

“Saya langsung tidak menyentuh hal politik ketika menyampaikan motivasi, sebaliknya sekadar memberi semangat kepada anak-anak bangsa. 

“Kalau boleh, sila kemukakan rekod (rakaman) kalau saya ada sentuh bab politik,” kata beliau dalam sesi ucapan penggulungan, sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, semalam. 

Haim menjelaskan, insiden itu telah menyebabkan pengetua sekolah berkenaan dipanggil dan diarahkan mengemukakan surat tunjuk sebab kenapa menjemput beliau memberi pengisian kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah terbabit. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu lagi, beliau berasa tiada kesalahan bagi mana-mana pihak menjemputnya menyampaikan motivasi kecemerlangan kepada 

pelajar, memandangkan pengalamannya sebagai ahli akademik dan pensyarah menjangkau 23 tahun.

Malah tegasnya, jawatan terakhirnya adalah sebagai Naib Cencalor di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebelum bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu. 

“Nak bangunkan anak-anak dan bangsa sendiri tidak diberi ruang. Ini sesuatu yang mendukacitakan.

“Namun, kalau budaya menakut-nakutkan ini terus diamal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ia akan  merugikan bangsa, negeri dan negara. Harus diatasi segera,” tegas beliau.

Mengulas lanjut katanya, jangan kerana kepentingan politik sempit pihak tertentu, anak-anak bangsa terutama anak-anak nelayan, pesawah, petani dan lain-lain dibiarkan. 

“Inilah yang dikatakan demi kepentingan politik sempit yang ingin terus memegang kuasa, anak-anak bangsa sanggup dibiarkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -