Kadar bantuan kewangan haji bersasar disemak

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kadar bantuan kewangan haji bersasar akan disemak dari masa ke semasa dan akan turut mengambil kira cadangan-cadangan untuk menambah baik, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, jelasnya Tabung Haji (TH) harus sentiasa mengambil kira keperluan untuk mengimbangi kepentingan jemaah haji tahunan yang memerlukan bantuan dengan kepentingan keseluruhan pendeposit yang memerlukan kadar pulangan yang stabil dan mampan.

Beliau berkata, TH juga telah dan sentiasa meneruskan usaha menjelaskan konsep istito’ah atau kemampuan dalam mengerjakan haji di mana semua jemaah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perbelanjaan yang diperlukan bagi menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

“Usaha penerangan tentang kepentingan konsep kemampuan atau istito’ah dilakukan melalui media arus perdana, media sosial dan sesi libat urus kerana sudah tentu ibadat haji itu akan lebih bermakna dengan pengorbanan menyimpan wang untuk membayar kos penuh, tanpa memerlukan bantuan dari mana-mana pihak,” katanya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) di Dewan Rakyat, semalam.

Wan Hassan dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan kerajaan untuk memperkenalkan mekanisme baru Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) yang lebih menjamin faedah bersama antara Lembaga Tabung Haji dan juga pendeposit daripada golongan M40 dan T20 mengambil kira sumbangan besar kedua-dua golongan tersebut ke dalam dana Tabung Haji.

Menurut Mohd Na’im lagi, resolusi Muzakarah Haji Kebangsaan ke-37 pada Disember 2020 juga telah menetapkan bahawa perbelanjaan sebenar mengerjakan haji adalah tanggungjawab jemaah haji sepenuhnya dan mereka tidak wajib menerima sumbangan daripada pihak tertentu untuk menunaikan haji.

Walau bagaimanapun, ujarnya tidak salah jika mereka menerimanya.

“Alhamdulillah, berikutan penerangan berterusan, semakin ramai yang menghayati konsep istito’ah (kemampuan) dan hasilnya ada golongan yang menolak bantuan kewangan haji sama ada secara sepenuhnya atau sebahagiannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -