Henti urusan niaga menjelang waktu Maghrib

Mejar (B) Mansor Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri dalam tempoh terdekat akan mengeluarkan arahan agar aktiviti perniagaan dihentikan ketika azan Maghrib berkumandang.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diberi arahan agar membuat pemantauan di semua lokasi karnival jualan di seluruh Kedah terutama menjelang Ramadan.

“Arah itu untuk memastikan peniaga di karvinal jualan mematuhi peraturan dan dalam masa yang sama tidak menjejaskan kesucian bulan Ramadan,” kata beliau ketika menyampaian ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, semalam.

Dalam pada itu jelasnya lagi, Seminar Ahli Majlis PBT telah diadakan pada 15 Februari lalu antaranya memberi penekanan kepada modul tugasan serta peranan yang mesti dilakukan oleh setiap ahli terbabit.

Beliau juga mengharapkan agar semua yang terlibat termasuk ahli-ahli majlis daerah di setiap PBT mengambil peranan serta menjalankan tanggungjawab sebaiknya dan mempraktikkan ilmu yang diperolehi pada seminar itu.

Mansor juga memaklumkan konsert  ‘Choii Underground Music Tour Kedah 2.0’ di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada 24 Februari lalu berlangsung tanpa permit dan kebenaran daripada kerajaan negeri.

Berikutan itu, ramai dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang mengharapkan pihak PBT serta yang berkaitan lebih peka pada masa akan datang agar peristiwa seperti itu tidak berulang.

Konsert itu mendapat kecaman banyak pihak kerana diadakan ketika menjelang malam Nisfu Syaaban. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -