Kekang Islam liberal disebar di sebalik program wacana, dialog

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta menyatakan langkah bagi mengekang penyebaran Islam liberal yang berselindung di sebalik program wacana dan dialog.

- Advertisement -

Demikian pertanyaan Dato’ Ahmad Saad @ Yahaya [PN-Pokok Sena] pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Menjawab pertanyaan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap penyebaran sebarang ajaran yang menyeleweng dan ideologi yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah termasuk Islam liberal.

Katanya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25hingga 27 Julai 2006 telah membincangkan Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya kepada Islam di Malaysia.

Jelasnya, muzakarah telah memutuskan bahawa gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah.

Tambahnya, beberapa negeri turut memfatwakan ajaran Islam Liberal bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wajl Jamaah yang menjadi aliran arus perdana umat Islam di Malaysia.

“Dalam usaha mengekang penyebaran Islam liberal yang berselindung di sebalik program wacana dan dialog, agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri akan terus bekerjasama bagi memastikan penganjuran wacana dan dialong tidak akan melibatkan individu yang mendokong fahaman Islam liberal,” ujarnya dalam jawapan bertulis.

Justeru, katanya, semua pihak disarankan agar merujuk kepada pihak berkuasa agama bagi memastikan panel yang dijemput telah memperolehi tauliah mengajar daripada Pejabat Mufti negeri-negeri agar tapisan awal dapat dilaksanakan.

Selain itu, jelasnya pihak JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Mufti negeri-negeri sentiasa melaksanakan program penjelasan kepada kumpulan sasar dalam pelbagai forum bagi membendung gejala liberal ini daripada terus berleluasa.

Katanya, kerajaan juga akan terus melaksanakan langkah jangka panjang dengan mengukuhkan kurikulum pendidikan Islam secara formal dan informal dalam insitusi pendidikan di Malaysia dan memperkemas undang-undang berkaitan bagi mencegah penyebaran agenda liberal terhadap masyarakat Islam.

Selain itu, katanya pendidikan Islam secara tidak formal sentiasa diperluaskan melalui media sosial dan pengisian program-program di masjid serta surau yang lebih tersusun. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -