Ladang solar: Kaji implikasi kos, impak sosial kepada rakyat

Dr Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Halimah Ali (PN-Kapar) meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengkaji implikasi kos serta impak sosial kepada rakyat bagi pembinaan ladang solar.

- Advertisement -

Ini katanya, susulan beliau merujuk kepada berita UAE’s Masdar partners two M’sian cos for US$8bil investments in renewable energy pada laman Business Times bertarikh 4 Disember 2023.

“Apakah implikasi kos kepada kerajaan sebab ini solar farm (ladang solar) ini akan besar dan akan melibatkan tanah yang besar dan sebagainya, mungkin (memberi kesan kepada) rumah orang dan apakah social impact (impak sosial) kepada rakyat.

“Satu lagi ialah saya mahu tahu apakah kesan projek ini kepada Kapar Energy Venture Sdn Bhd di Kapar iaitu satu sebuah subsidiari TNB (Tenaga Nasional Berhad) anak syarikat kerajaan dan Malakoff.

“Di mana ianya adalah second largest thermal power plant in Malaysia generating (Janakuasa haba kedua terbesar di Malaysia yang menjana kuasa sebanyak) 2,200 megawatts. So (jadi) bila dah ada Masdar dia punya projek apa jadi kepada Kapar Energy Ventures?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sepertimana beliau telah katakan bahawa Masdar berminat untuk melabur dalam TBB tenaga boleh baharu.

“Manakala di Kapar ialah berasaskan kepada coal (arang) iaitu yang akhirnya bila sampai hayat nanti kita kena tamat hayatkan. Maknanya bila sampai tempoh makna ianya tidak akan berfungsi lagi disebabkan kita kena beralih sama ada menggunakan gas ataupun yang lain-lain.

“Malahan perancangan kita sekarang ialah yang di Kapar nanti akan dibina power plant yang baru menggunakan gas ataupun yang lain-lain untuk Masdar mana-mana pelaburan dalam negara kita memang kita welcome.

“Tapi sudah pasti kena mematuhi segala peraturan dasar dari segi termasuklah environment (alam sekitar) dan sebagainya perlu dipatuhi sebab untuk solar memang menggunakan tanah yang besar. Sebab itu mereka kena mencari tanah di mana tanah yang sesuai untuk dijadikan ladang solar,” jawab beliau.

Menurutnya, pelaburan untuk solar sebenarnya bukan murah kerana secara umumnya 1,000 watt perlu dibelanjakan lebih kurang RM4,000 pada kadar sekarang.

“Bayangkan kalau nak bekalkan 1,000 megawatt, makna RM4 bilion akan dilaburkan untuk bekalan tenaga,” jelasnya.

Katanya, solar hanya dapat membekalkan lebih kurang empat ke lima jam sehari melainkan  kemudian ada bateri untuk restore ataupun preserve tenaga.

Ini, jelasnya supaya ia boleh dibekalkan secara konsisten ke grid untuk memastikan grid itu akan stabil dan selamat.

“Jadi maknanya keseluruhan rantaian dari segi pelaburan luar mahu pun dalam negeri, bila melibatkan TBB ini solar ianya akan mengambil kira keseluruhan aspek satu, dari segi aspek investment (pelaburan), komersial, teknikal dan juga dari segi sosial perspektif. Semua akan diambil kira,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri II.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan apakah rancangan Kementerian berkenaan dengan syarikat UAE, Masdar, yang telah menandatangani pelan pelaksanaan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) untuk pembangunan sehingga 10 GW projek tenaga boleh diperbaharui (TBB) di Malaysia dan pihak manakah yang akan off take TBB ini. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -