Tangani segera masalah bekalan elektrik di Sabah

Ahmad Dullah
- Advertisement -

TAWAU: Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah meminta kerajaan negeri mengambil tindakan drastik bagi menangani masalah bekalan elektrik di seluruh negeri.

- Advertisement -

Ahmad berkata, isu gangguan bekalan elektrik sudah lama berlaku dan sehingga kini kerajaan negeri masih gagal melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah itu.

“Saya difahamkan ia berlaku kerana pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membuat load shedding disebabkan permintaan atau demand yang terlalu tinggi daripada pengguna.

“Kalau dirujuk laman web rasmi SESB, banyak power generator yang outage kerana permintaan bekalan agak tinggi berikutan cuaca panas ketika ini,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kalabakan berkata, isu itu dilihat semakin meruncing dan menjadi beban kepada rakyat, lebih-lebih lagi ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.

“Sekiranya masalah ini terus berlaku, banyak sektor ekonomi turut terbeban kerana aktiviti perniagaan tidak dapat dijalankan dengan baik.

“Rakyat mahukan kerajaan negeri memberikan solusi berkenaan isu ini dan kita juga mahu tahu setakat mana sudah perkembangan projek baikpulih tenaga elektrik di Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad turut mengharapkan supaya kerajaan Sarawak bersetuju untuk mempercepatkan sambungan bekalan elektrik ke Sabah.

“Kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan yang lebih baik untuk berunding dengan Sarawak demi kebajikan semua rakyat di Sabah,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/3/2024

- Advertisement -