Akademi Kenegaraan ikut model BTN atau J-Kom?

Dr Shahidan Kassim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) meminta kerajaan menjelaskan model akan diikuti oleh Akademi Kenegaraan yang bakal diwujudkan sama ada menggunakan model Biro Tatanegara (BTN) atau Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Katanya, perkara tersebut tidak dinyatakan dengan jelas kerana tidak ada perincian yang ditunjukkan pada kertas putih berkaitan perkara itu dan sekadar menyebut Program Akademi Kenegaraan.

- Advertisement -

“Jadi saya nak tanya, apakah bila ia masuk kepada Jabatan Perdana Menteri dia nak jadi seperti J-Kom? Yang kita tahu bahawa J-Kom yang telah mewujudkan satu kelam-kabut negara baru-baru ini dengan menyebut bahawa ada ‘Langkah Dubai’. Fasal mereka yang keluarkan (tuduhan).

“Sehingga kita semua jadi kelam-kabut sampai berbeza pendapat. Padahal mereka yang keluarkan. Adakah kita nak wujudkan agensi seperti J-Kom ataupun dia letak di bawah mana?” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara itu sewaktu perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut menyentuh tentang butiran di bawah P6 iaitu Projek Pembangunan i-Lead di bawah Institut Pembangunan Kecemerlangan Kepimpinan ke arah untuk memupuk rakyat Malaysia Madani.

“Apakah mereka mampu buat benda ni? Sekarang saya nak tanya berapakah kumpulan ataupun individu yang mereka telah sasarkan untuk capai kejayaan? Apakah ianya merupakan program yang berbentuk propaganda yang boleh merugikan?

“Kita menyokong tetapi kita nak tengok apakah modul yang dibawa. Apakah disebut tadi tentang orang-orang muda, mampukah kita dengan peruntukan yang banyak ini untuk mengubah orang muda?” soalnya.

Tambahnya, penekanan juga harus diberikan terhadap perpaduan kaum dan sikap hormat-menghormati sesama kaum yang dilihat semakin meruncing terutama dalam kalangan generasi muda pada masa ini. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -