Tok Aman Bali terima tempahan pelanggan dua negeri

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Kedudukan Tok Aman Bali Beach Resort tidak jauh dari sempadan Kelantan-Terengganu menyebabkan ia sering mendapat tempahan pelanggan daripada kedua-dua negeri terbabit.

- Advertisement -

Pengurus Operasinya, Wan Karimah Wan Mohamed Noor berkata, resort itu mendapat tempahan lebih 90 peratus tiga hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan seminggu selepas itu.

Katanya tempahan tersebut daripada anak Kelantan di perantauan dan penduduk Besut yang pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga.

“Kebiasaannya mereka akan menempah bilik di sini, tambahan pula sekarang musim panas,” katanya ketika ditemui pada majlis iftar bersama rakan media, di sini semalam.

Pada majlis itu seramai 30 anak-anak yatim dari Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Lilbanin Sri Peraksi diraikan dengan juadah iftar.

Wan Karimah juga berkata, ketika cuti persekolahan baru-baru ini bilik penginapan di Tok Aman Bali mencapai 90 peratus.

Menurutnya juga hotel bertaraf empat bintang itu mempunyai pelanggan yang tersendiri.

“Kebetulan sebelum ini kami menganjurkan Mini Karnival bagi menghimpunkan pelanggan-pelanggan yang sering bermalam di Tok Aman Bali.

“Alhamdulillah, ketika itu penuh bilik hotel yang ditempah anak-anak Kelantan dan pelancong luar yang menjadi pelanggan tetap kami,” katanya.

Ditanya berkenaan dengan menu sempena Ramadan katanya tema masakan di resort tersebut lebih kepada Timur Tengah, iaitu nasi mandi dan ayam tandori.

Tok Aman Bali Resort juga terkenal dengan menu ikan bakar dan selera kampung seperti siput sedut yang mendapat permintaan pelanggan. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -