Aidilfitri: Kerajaan digesa ringankan beban rakyat

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Sempena perayaan Aidilfitri pada tahun ini yang bakal menjelma tidak lama lagi, Kerajaan Madani digesa agar melakukan tindakan proaktif bagi membantu meringankan beban rakyat.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, Aidilfitri yang kian menghampiri kini mula dirasai; dan persiapan ke arah menyambut hari lebaran semakin rancak di sana sini.

- Advertisement -

“Namun, keseronokan berhari raya kadangkala disambut dengan keluhan oleh rakyat jelata memandangkan harga barangan keperluan yang meningkat,” katanya dalam satu kenyataan..

Menurutnya, peningkatan kos tersebut  melibatkan perbelanjaan harian keluarga, apa lagi persediaan hari raya seperti baju baharu, barangan makanan hari raya dan perkara lain yang berkaitan.

“Maka, bagi meringankan bebanan rakyat, kerajaan digesa bukan sahaja mengawal harga barangan seperti meletakkan harga siling barangan tertentu, namun bekalan yang mencukupi juga perlulah dipastikan bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan setiap kali musim perayaan,” tegasnya. 

Tambah beliau, justeru pengawasan dan penguatkuasaan undang-udang perlulah dilaksanakan dengan penuh integriti terhadap mana-mana pihak yang terlibat melanggarnya.

“Anggota masyarakat juga digalakkan untuk sama-sama mengamalkan sikap saling membantu dalam meringankan bebanan dan memperkukuhkan  persaudaraan melangkaui sempadan politik dan agama,  di samping mengamalkan sikap bersederhana dan mengelakkan pembaziran,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -