Program kebajikan PAS untuk rakyat dihadiri pelbagai kaum

Rakyat berbilang bangsa mengunjungi program Semarak Kasih di Pejabat Agung PAS Pusat, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada hari ini, 31 Mac 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan melaksana program kebajikan yang lebih besar jika diberi kuasa pemerintahan di Putrajaya, berikutan komitmen yang diberikan dalam menganjurkan program kebajikan saban tahun selama 14 tahun berturut-turut.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, PAS telah menganjurkan program kebajikan, Semarak Kasih yang berlangsung pada hari ini (31 Mac), bukan untuk kempen pilihan raya.

“Pilihan raya lambat lagi. Kalau kita nak berkempen kita buat lima tahun sekali tapi kita buat tiap-tiap tahun selama 14 tahun.

- Advertisement -

“Ini menunjukkan komitmen kami daripada PAS ke arah membudayakan budaya kebajikan yang kita mengambil berat urusan kebajikan rakyat.

“Kenapa kita buat di belakang pejabat Agong PAS kerana di sini ialah ibu pejabat parti PAS dan kita buat di sini untuk menunjukkan betapa rapatnya PAS dengan agenda untuk membawa kebajikan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Semarak Kasih yang berlangsung di Pejabat Agung PAS Pusat, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, kehadiran peserta Semarak Kasih ini bukan hanya daripada kalangan orang Melayu, tetapi ada juga kalangan kaum Tionghua dan juga daripada kaum India.

“Ia menunjukkan bahawa perjuangan Parti Islam Se-Malaysia PAS ini tidak hanya berlandaskan kepada kaum tetapi dengan agenda untuk membawa kebajikan kepada semua,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr Rosni Adam; Timbalan 2 Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Noorhanim Ismail; Ahli Jawatankuasa Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat, Kong Tuck Wah; Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Abu Bakar Abd Rahman dan Pengarah Program Semarak Kasih, Ustaz Ahmad Abdullah Sanek.

Melalui wadah politik dengan mengutamakan kebajikan melalui kuasa dan pemerintahan, ujar Kamaruzaman, PAS sekarang ini sedang memerintah empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis; dan PAS sebelum ini pernah menjadi kerajaan di Putrajaya.

“Dalam keadaan kita hari ini tidak memerintah Putrajaya dan kita tidak menang pun di Kuala Lumpur, tetapi kita buat juga program kebajikan ini sebagai tanda komitmen kami. 

“Kalaulah kami memerintah di Putrajaya, insya-Allah program kebajikan yang lebih besar, dapat kami adakan untuk seluruh rakyat Malaysia, insya-Allah,” tegasnya.

Beliau menyatakan, walaupun banyak pihak yang cuba untuk menjauhkan diri daripada PAS, namun dengan kehadiran ramai pengunjung dalam program Semarak Kasih ini termasuk bukan Islam, ia terbukti bahawa segala pemulauan yang dibuat kepada PAS tidak berjaya.

Kamaruzaman menegaskan lagi bahawa Islam adalah satu agama yang mengutamakan kebajikan kerana terdapat hadis Nabi SAW yang menyebut mengenai bagaimana ada seorang yang dimasukkan ke dalam syurga hanya dengan memberi minum anjing yang kelaparan memberi anjing minum.

“Anjing kelaparan minum pun begitu dihargai oleh Islam sehingga mana dimasukkan ke dalam syurga. Dan ada yang dimasukkan ke dalam neraka hanya kerana membiarkan anjing peliharaannya tidak makan dan tidak minum. 

“Ini menunjukkan Islam begitu dekat dengan kebajikan. Kalau kebajikan haiwan pun diberikan suatu pengiktirafan yang besar oleh Islam apatah lagi kebajikan sesama manusia yang sangat-sangat diberikan perhatian dan juga diberikan suatu pertimbangan berat oleh Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -