‘Calon PH ambil UPSR, SPM di mana?’ – Ahmad Fadhli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: ‘Kalau rumah sendiri dari kaca, jangan baling batu ke rumah orang lain’, mungkin menjadi peringatan berguna kepada Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menghadapi PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu.

- Advertisement -

Keghairahan untuk menjatuhkan kredibiliti calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Khairul Azhari Saut secara tidak matang dengan mempertikaikan status latar belakang pendidikan beliau, kini bagaikan ‘senjata makan tuan’.

Susulan pembuktian telah dikemukakan pihak Azhari dan pengesahan daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) sendiri, berbangkit pula persoalan serupa yang beralih perhatian menerjah ke atas calon PH, Pang Sock Tao.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mencabar calon PH itu untuk menyatakan latar belakang pendidikan rendah dan menengah yang pernah diterimanya, memandangkan tiada catatan di poster profil Pang.

“Isu pendidikan calon PN telah selesai. Pihak Universiti (UMP) telah keluarkan kenyataan berhubung kelulusan Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan yang dimiliki beliau bahkan transkrip sijil juga telah disebarkan.

“Sekarang, saya mencabar calon PH pula untuk nyatakan pendidikan rendah dan menengahnya. Silakan. Di manakah peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dan SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia) diambil, tentu menarik untuk diketahui,” ujarnya.

Semalam, latar belakang pendidikan Azhari yang juga Pemangku Ketua BERSATU Bahagian Hulu Selangor itu dijadikan isu kerana poster profil calonnya mencatat memiliki diploma dan sarjana tanpa ijazah.

Beliau bagaimanapun tenang tanpa melatah dengan pertikaian tersebut, sebaliknya menegaskan untuk memberi fokus sebaik mungkin kepada kempen sedang dilaksanakan beliau dan jentera PN pada PRK ditandingi. – HARAKAHDAILY 28/4/2024

- Advertisement -