Isu 90 kubur dipindahkan kerana projek ECRL di Klang

Projek ECRL menimbulkan kontroversi terbaharu, kali ini melibatkan isu pemindahan 90 unit kubur di Tanah Perkuburan Selat Klang, Selangor. (FOTO: Foursquare)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIS) digesa lebih prihatin mengenai perkara yang melibatkan sensitiviti umat Islam yang dikaitkan dengan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, isu pemindahan 90 unit kubur di Tanah Perkuburan Selat Klang, di Klang, Selangor seharusnya dilakukan dengan cara yang betul dan telus lebih-lebih lagi melibatkan para warisnya.

“Apa yang berlaku ialah sebaliknya dan ini merupakan sesuatu yang amat dikesali kerana sepatutnya ada garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri, PBT dan MAIS berkaitan perkara ini kepada pihak kontraktor ECRL,” katanya kepada HarakahDaily.

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga merupakan seorang Perunding Tanah Profesional (PLC), perkara sebegini perlu diurus selia oleh pihak yang berwajib dan para waris yang terlibat yang mana pengumuman mengenai pemindahan 90 unit kubur seharusnya dilakukan dengan lebih awal.

Tambahnya, ini termasuklah penyediaan notis dan papan tanda di tanah perkuburan yang lebih awal agar waris mempunyai masa yang mencukupi untuk hadir dan berbincang mengenai perkara tersebut.

“Daripada info yang saya dapat waris hanya tahu mengenai pemindahan ini melalui WhatsApp sahaja yang mana perkara sebegini tidak seharusnya berlaku.

“Pihak Berkuasa Negeri sepatutnya memantau perkara ini dengan amat teliti agar proses seperti ini dapat berjalan dengan lancar dan teratur.

“Ini termasuklah dengan juga melibatkan pihak kariah dan pengurusan pentadbiran kubur serta waris dalam menguruskan pemindahan kubur bersama-sama bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran dapat dilakukan dengan lebih baik,” tegasnya.

Mohd Zai Mustafa

Beliau menyatakan banyak rungutan yang diterima berkaitan pengurusan laluan projek ECRL yang mana satu daripadanya ialah pengabaian kepentingan rakyat itu sendiri seperti isu tanah dan seumpamanya.

Kata beliau, rakyat terpaksa menanggung pelbagai kesan yang buruk akibat daripada projek tersebut yang tidak mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Mana-mana pihak yang bertanggungjawab yang memantau projek laluan ini perlu memastikan kontraktor mematuhi segala prosedur operasi projek agar tidak mengabaikan tanggungjawab keselamatan, kesihatan dan kesan-kesan sampingan seperti banjir lumpur dan runtuhan tanah yang terbuka,” katanya.

Terdahulu, akhbar Harian Metro melaporkan pada hari ini bahawa sebahagian waris kubur Tanah Perkuburan Selat Klang di sini, mendakwa tidak dimaklumkan berhubung pemindahan tapak tanah perkuburan berkenaan bagi memberi laluan kepada projek ECRL.

Mereka dilaporkan turut kecewa apabila tidak dipanggil untuk sesi libat urus dan perbincangan dilakukan bersama keluarga waris dilakukan pihak berwajib bagi memaklumkan penggalian dan pemindahan semula kubur berkenaan. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

- Advertisement -