Lakukan empat perkara untuk kemenangan PAS

Ustaz Mohd Taufik S.Ag
- Advertisement -

MELAKA: Ada empat perkara penting yang perlu dilakukan oleh setiap kader PAS jika mahu melihat kemenangan parti Islam itu di bumi Malaysia ini.

- Advertisement -

Ahli Lembaga Penjaga Mutu Pesantren, Kampar, Riau, Ustaz Mohd Taufik S.Ag berkata, empat perkara itu adalah berdasarkan panduan daripada Rasulullah SAW terhadap pejuang-pejuang Islam.

Yang pertama menurut beliau ialah dengan menyebarkan salam, iaitu dengan berkomunikasi dengan masyarakat di mana sahaja mereka bertemu.

“Ajak mereka solat jika mereka belum bersolat. Ajak mereka tarbiah jika mereka belum tarbiah. Ajak bentuk madrasah-madrasah, bentuk lembaga-lembaga Al Quran.

“Maka insya-Allah suara-suara kemenangan ada di situ, insya-Allah,” katanya sewaktu menyampaikan ceramah di Majlis Iftar Dan Bicara Murabbi Ibrah Badar Al Kubra di Dewan Mualim Tuan Guru Haji Wahid di Bukit Katil, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga merupakan pakar tarbiah bagi Partai Keadilan Sejahtera (PKS), sebuah parti Islam di Indonesia hadir ke Melaka atas jemputan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin sebagai pembakar semangat kepada amilin PAS Melaka.

Menurut Ustaz Taufik, dengan melakukan perkara itu sehingga menjadikan anak-anak mereka menguasai ilmu Al Quran, maka bapa-bapa mereka akan mudah menyokong gerakan Islam dalam pilihan raya.

Yang kedua, menurut beliau, jika masyarakat tempatan dilihat masih bersikap pragmatis dan masih bergantung kepada bantuan asas, maka PAS harus menilai semula aktiviti kebajikan yang telah dilaksanakan selama ini.

“Yakinkan, jangan-jangan program ekonomi kita belum tersentuh kepada masyarakat. Program kita belum menghidupkan pada mereka.

“Kenapa? Kerana memang Rasullullah SAW ketika diutus menghidupkan fakir-fakir miskin yang mereka ketika bisa masuk Islam,” ujarnya.

Berdasarkan sirah, menurut beliau, Rasulullah SAW pernah mengumpulkan sahabat-sahabat lalu bertanya siapa di antara mereka yang sudah memberi makan kepada fakir miskin atau anak yatim pada waktu itu.

Jelasnya, itu memberi maksud bahawa kemenangan-kemenangan Islam itu harus ada perhatian dalam soal memberi makan kepada orang-orang miskin seperti majlis-majlis berbuka puasa yang biasa dilakukan sekarang.

Tambahnya, yang ketiga, Rasulullah SAW menegaskan agar pejuang-pejuang Islam meningkatkan hubungan silaturrahim

“Kader-kader PAS jangan sampai ketika lebaran datang Aidilfitri datang, tapi menghabiskan waktunya hanya di tempat-tempat rekreasi, tempat-tempat yang tidak sesuai.

“Tetapi justeru silaturahim pada tokoh-tokoh yang baru tersentuh dengan tarbiah. Silaturrahim tokoh-tokoh yang belum tahu fikrah Islam,” ujarnya.

Tambah beliau, perkara keempat yang perlu diambil berat oleh kader-kader PAS ialah jangan menunda-nunda melakukan perkara-perkara kebaikan seperti solat fardu, solat tahajud dan melakukan qiyamullail dengan bersungguh-sungguh.

“Sehingga Kiyai Hassan mengatakan sampai kalau kita mahu menang katanya, hendaklah kamu perbanyakkan solat jemaah, sebab apa, kerana solat berjemaah bisa bertemu masyarakat di situ.

“Di masjid banyak masyarakat. Kalau kita bertemu dengan masyarakat, automatis ketika kita berbicara, berbicara tentang fikrah Islam, ketika kita berbicara dengan mereka, berbicara tentang Al-Quran yang hidup,” ujarnya.

Selain itu, Ustaz Taufik berkata, sebagai kelompok parti Islam beliau bersama-sama dengan kader-kader PKS di Indonesia sentiasa mengharapkan agar PAS beroleh kemenangan dalam pilihan raya yang disertai di negara ini.

“Saya pesan pada Haji Bakri, saya akan pesan kepada kader-kader (PKS), setiap tahajud kita doakan PAS di Malaysia,

“Setiap malam kita baca Al Quran, kita nangis, kita mahu Malaysia menang. Doa semoga kemenangan Islam (di Malaysia) yang boleh memenangkan Palestine,” ujarnya.

Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Turut hadir ialah pemimpin-pemimpin utama PAS negeri antaranya Timbalan Pesuruhjaya-1, Bakri Jamaluddin, Timbalan Pesuruhjaya-3, Muhamat Puhat Bedol dan ADUN Rembia, Muhammad Jailani Khamis. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -