Kritik jangan sampai mencela

Kritik perlu dilakukan jika sesuatu perkara itu bertentangan dengan agama Islam. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

TERDAPAT perbezaan antara kritikan dan celaan. Kritik bukan hendak meruntuh atau menghina seseorang tetapi sebaliknya ia hendak membina untuk kebaikan bersama.

Kita sedar bahawa bahawa manusia bukan maksum sebab itu kita perlu semak imbang antara kita, dalam bahasa yang mudah, kena ada kritikan dan teguran.

Orang yang mengkritik, jangan pula merasakan dirinya maksum dan hendak menjatuh maruah dan mengaibkan orang yang dikritik.

- Advertisement -

Begitu pesanan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad ketika diutarakan HarakahDaily mengenai topik elemen ‘beza antara kritikan dan celaan’ dalam kehidupan manusia sebagai hamba Allah SWT di muka bumi ini.

Menurut beliau, oleh kerana itu daripada Abu Ruqayyah Tamim al-Dari RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: ‘Untuk Allah, untuk kitab-Nya, untuk Rasul-Nya, untuk para Imam kaum Muslimin dan untuk umat Islam seluruhnya.’” (Hadis riwayat Muslim)

“Jikalau kritik untuk meruntuhkan dan membangkang perkara yang baik, itu tidak dibenarkan.

“Kita hendak kritik jikalau perkara itu adalah yang tidak benar dan bertentangan dengan agama,” kongsi beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai. 

Kisah kritikan dan teguran seorang muslimat kepada Amirul Mu’minin Saidina Umar, apabila Saidina Umar hendak menghadkan mas kahwin. Maka bangun seorang muslimat menegur Saidina Umar, bahawa mas kahwin ini hak wanita. Maka Saidina Umar menjawab, bahawa pandangan muslimat ini benar, pendapat Umar salah.

Mencela seseorang amat dilarang Islam

“Celaan atau menghina bermaksud memburukkan seseorang atau memalitkan kebencian kepada orang yang dicela, dan perkara ini amatlah dilarang oleh agama,” tambah Idris.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangka-sangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari sangka-sangka itu adalah dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menyebut keburukan antara satu sama lain. Adakah seseorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu berasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Hujurat: 12)

“Maka, kita sebagai umat Islam janganlah menghina antara satu sama lain. Mungkin orang yang kamu hina itu lebih baik daripada kita. Memang tidak ada perkara yang boleh kita hendak menghina.

“Hatta, kalau kita belajar bab penghinaan panjang ulasannya. Menghina dari segi bentuk fizikal seperti pendek, kemetot, ketinggian seseorang, rupa wajah, warna kulit dan memanggil dengan satu panggilan yang tidak baik merupakan sesuatu perkara yang tidak dibenarkan,” ungkap beliau.

Beliau dengan itu menyatakan bahawa itulah perbezaan antara kritikan dan celaan. 

“Hukum mencela tidak sama dengan kritik kerana kritikan bermaksud teguran dan menginginkan penambahbaikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -