PAS konsisten dekati masyarakat atas dasar ukhuwah

- Advertisement -

SANDAKAN: “Kedatangan Islam telah mengajar kita untuk sentiasa menjaga tali persaudaraan dan ukhuwah sesama kita,” kata Setiausaha PAS Sabah, Sahar Abdul Majid.

- Advertisement -

Menurutnya, atas dasar kebersamaan dan nilai ukhuwah Islamiah itulah PAS terus konsisten mendekati masyarakat.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam program Ziarah Kasih Ramadan di Pulau Pamaguan dekat sini, semalam.

Turut hadir pada program anjuran PAS Kawasan Libaran itu ialah Ketua Penerangan PAS negeri, Mustaman Mustain dan Ketua Pemuda PAS kawasan, Aq Mady Hamsi.

Katanya, kehadiran PAS bukanlah atas dasar meraih undi semata-mata namun ia bersandarkan kepada menjaga hubungan persaudaraan sesama manusia.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Libaran, Abdul Wahid Mohd Rafi turut menegaskan bahawa PAS bukan sahaja sebuah parti politik namun juga sebagai parti dakwah dan kebajikan.

“Kami bukanlah hanya mementingkan politik semata-mata, tapi soal kebajikan menjadi keutamaan kami.

“Sebab itu PAS Libaran tidak pernah terlepas melakukan ziarah dan bantuan di pulau ini meskipun bukan musim pilihan raya,” ujarnya.

Sebanyak 40 keluarga telah menerima sumbangan bakul makanan menerusi program ziarah itu. – HARAKAHDAILY 31/3/2024

- Advertisement -