KUALA LIPIS: PAS Kawaan Lipis melancarkan ‘Kempen Infak 50 Peratus Bajet Raya Untuk Tabung Palestin’ sebagai tanda solidariti berterusan terutama menjelang Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Roslan Zainal berkata, infak itu dilancarkan sebagai satu tanda keprihatinan berterusan terhadap nasib umat Islam di Palestin.
“Tidak sampai dua minggu lagi kita akan merayakan kemenangan di Aidilfitri. Semestinya terbayang di benak kita akan kemeriahan seperti selalunya. Sementara saudara muslimin kita di Gaza, di Rafah menyambut Aidilfitri di tengah runtuhan bangunan kediaman mereka, bergulat dengan kelaparan dan kehausan.
“Apakah peranan kita? Berpadakah kita dengan secebis sumbangan sebelum ini? Berpadakah dengan secebis doa yang kita lantunkan saban masa? Padankah dengan sekadar lontaran suara maya di media sosial?
“Maka sebagai ganti batang tubuh kita yang tidak mampu untuk ke sana berperang dengan teroris zionis laknatullah, PAS Kawasan Lipis melancarkan ‘Kempen Infak 50 Peratus Bajet Raya Untuk Tabung Palestin’, ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Lipis ketika berucap pada majlis yang diadakan di Dewan Abdullah Sani, Kompleks Tarbiah (KoTa) al Istiqamah, Simpang Berembang, Lipis, kelmarin.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man usai menyampaikan tausiah dan taujihat sempena Sambutan Badar Kubra dan Nuzul al-Quran.
PAS Lipis turut berbesar hati memberi sedikit sumbangan Aidilfitri terhadap petugas sepenuh masa parti termasuk guru-guru PASTI kawasan. – HARAKAHDAILY 31/3/2024