Presiden, Menteri Luar Iran disahkan terkorban

Ebrahim Raisi (dua dari kanan) dan Hossein Amir-Abdollahian (kanan) telah disahkan meninggal dunia dalam kejadian helikopter terhempas di Iran; Malek Rahmati (kiri) dan Hojjatoleslam Al Hashem (dua dari kiri) turut berada dalam helikopter malang itu. (FOTO: IRNA)
- Advertisement -

TEHRAN: Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian telah disahkan terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di barat laut Iran.

Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS) dalam kenyataannya berkata, beberapa pegawai kerajaan yang turut berada di dalam helikopter berkenaan yang dijadualkan dalam perjalanan pulang dari sebuah majlis perasmian empangan di sempadan Iran-Azerbaijan itu turut disahkan terkorban.

- Advertisement -

“Tiada tanda-tanda mangsa yang terselamat selepas pemeriksaan di lokasi berkenaan dijalankan,” kata kenyataan itu.

Pasukan penyelamat telah menempuh dengan ribut salji dan keadaan bentuk muka bumi mencabar untuk sampai ke lokasi kemalangan sepanjang malam semalam sehingga awal pagi hari ini.

Raisi, 63, yang dilantik menjadi presiden pada 2021, telah mengarahkan untuk mengetatkan undang-undang moral, mengawasi tindakan berdarah terhadap protes anti-kerajaan dan mendesak rundingan nuklear dengan kuasa dunia.

Dalam pada itu, ketua kakitangan tentera Iran telah mengarahkan semua aset dan sumber tentera dan pengawal revolusi elit Iran digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan.

Pihak penyiar kebangsaan turut menghentikan semua program dari ditayangkan di seluruh negara bagi menghormati kematian Raisi dan kesemua mangsa yang terlibat.

Selain Raisi dan Abdollahian turut berada dalam helikopter tersebut ialah Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur, Malek Rahmati dan Imam Solat Jumaat di wilayah Tabriz, Hojjatoleslam Al Hashem. – Agensi – HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -