Sebarang keganasan tidak dialu-alukan dalam Malaysia

Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Segala perbuatan yang bersifat keganasan termasuklah dalam dunia politik pun perlu ditolak serta-merta dalam negara ini.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Halimah Ali berkata, tindakan mengancam nyawa dan menggugut Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim merupakan satu perkara yang mengecewakan.

- Advertisement -

“Saya cukup kesal dan mengutuk tindakan mengancam nyawa dan mengugut beliau melalui surat layang dan dua butir peluru hidup yang dihantar kepada alamat kediamannya.

“Saya mengharapkan pihak polis akan menyiasat sedalam-dalamnya kejadian ini dan mengambil tindakan sewajar melalui proses undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, budaya politik keganasan tiada tempat dalam sebuah negara maju seumpama Malaysia, yang mana rakyatnya yang berbilang kaum hidup saling hormat-menghormati antara satu dan lain.

Tambah beliau, PAS dan Perikatan Nasional (PN) sentiasa berpegang teguh pada budaya politik matang dan sejahtera.

“Kami percaya yang sebarang perubahan kuasa politik hanya berlaku melalui proses demokrasi dan suara-ramai bukannya secara ganas atau tidak berakhlak.

“YB Teresa Kok adalah rakan saya dan kami pernah bersama-sama duduk sebagai EXCO Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor,” ujarnya.

Beliau menyatakan bahawa walaupun kini berbeza pandangan dan pendirian politik, tetapi bersimpati terhadap Teresa Kok serta berharap dirinya tenang serta cekal menghadapi gangguan tidak bertanggungjawab ini.

“Kita serahkan kepada pihak polis yang saya yakin berkemampuan dan cukup terlatih untuk menyiasat kes ini dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab,” katanya. – HARAKAHDAILY (20/5/2024)

- Advertisement -