PAS konsisten tolak keganasan demi rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) secara konsisten sejak awal penubuhan menolak keganasan dan bersungguh membawa ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera’ sebagai pendekatan politiknya untuk memenangi hati rakyat.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, melalui pendekatan ini PAS kini menguasai empat buah negeri serta secara bersendirian, dan PAS juga mempunyai 43 kerusi Parlimen jauh lebih besar dari PKR, Umno mahupun PAN.

- Advertisement -

Menurut beliau, PAS tidak memerlukan pendekatan ganas atau melampau bagi mencapai agendanya dengan pencapaian sebagai satu-satu parti Melayu Islam terbesar di Parlimen hari ini.

“PAS cuma perlu meneruskan berpolitik sebegini untuk insya-Allah, penguasaan yang lebih besar di masa depan.

“Yang ditolak, yang kalah dan yang kecil sudah pasti iri hati dengan pencapaian PAS yang konsisten mengambil pendekatan damai sejak Pilihan Raya Persektuan 1955 lagi.

“Tak hairan apabila beberapa tindakan puak pelampau kebelakangan ini mahu dikait dengan PAS. 

“Ada seorang pemimpin Umno cuba bawa idea itu dan hari ini seorang pemimpin PAN yang kalah setelah ditolak rakyat juga begitu konon mendakwa PAS terlibat suburkan tindakan ekstremisme agama,” tegas beliau dalam satu kenyataan di media sosialnya, hari ini. 

Rakyat Malaysia pada ketika ini, ujar beliau, sudah cukup mengenali PAS dan boleh memahami serta menerima perjuangannya.

“PAS  bukan parti ekstrem, ganas atau pelampau kerana PAS yang mendukung politik Islam sejak penubuhannya hampir 7 dekad lalu adalah sebuah parti yang inklusif, bersih dan terbuka,” ujarnya.

Tambah beliau, rakyat bukan Islam di bawah pemerintahan negeri-negeri PAS hidup aman dan sejahtera, bebas mengamalkan budaya masing-masing dan mencari rezeki tanpa halangan atau sekatan.

“Kita yakin tuduhan jahat puak-puak yang bankrap idea serta ditolak rakyat ini tidak mungkin mampu pengaruhi pandangan rakyat terhadap PAS. PAS tolak keganasan dan ekstremisme agama.

“Setiausaha Agung PAS dah kecam tindakan ganas puak pelampau di Ulu Tiram. Dr Halimah Ali selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS juga kutuk dan nyatakan simpati pada Teresa Kok yang didakwa menerima nota ugutan dan peluru hidup,” katanya.  – HARAKAHDAILY 21/5/2024

- Advertisement -