KETIKA pembinaan awal keretapi di Tanah Melayu pada 1 Jun 1885, aspirasinya adalah satu iaitu bagi memastikan industri bijih timah dapat beroperasi. Lebih 80 tahun selepas itu, pengurusan keretapi ini secara rasminya dikenali dengan nama Keretapi Tanah Melayu (KTM). KTM telah beroperasi dengan berkesan sebagai pengangkutan pilihan rakyat Malaysia sebelum KTM disyarikat pada 1992 dan masih dimiliki oleh kerajaan.
Selepas 138 tahun, hari ini KTM digemparkan dengan pengoperasian gaya liberal ala Barat yang bercanggah dan tidak sesuai dengan moral rakyat dan pegangan beragama umat Islam melalui video tular yang menunjukkan tren KTM menjadi lokasi hiburan seperti disko. Perkara ini mengundang persoalan tentang fungsi sebenar KTM sebagai pengangkutan rakyat.
Kerajaan perlu bertanggungjawab dan Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke perlu tampil memberi penjelasan. Yang pastinya, isu keuntungan tidak wajar dijadikan hujah di dalam isu memalukan ini.
Persoalan lain juga yang perlu dijawab, adakah aktiviti tersebut mematuhi garis panduan perniagaan melibatkan hiburan dan ubahsuai tren mendapat kelulusan?
Selain itu, adakah ruang pengudaraan tren bagi tujuan aktiviti tarian, pencahayaan dan kepatuhan tahap maksimum bunyi menurut garis panduan yang bersesuaian dengan syarat-syarat kebenaran pihak berautoriti?
Anak Malaysia memandang isu ini dengan serius dan sedih kerana impak negatif terhadap kredibiliti KTM sebagai entiti bersejarah dalam pengangkutan negara sudah terobek dengan memperjudikan moral anak muda dan seperti tidak selari dengan dasar Kerajaan Madani yang diuar-uarkan. Tindakan sewajarnya perlu diambil jika ada pihak bersekongkol melaksanakan aktiviti tersebut sama ada dari luar atau dalam.
“Moral Bukan Untuk Dijual Beli”
Mohammad Rosharizan Bin Mohd Rozlan
Pengerusi
Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia) – HARAKAHDAILY 20/5/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!