Usul rujuk Anthony Loke ke Jawatan Hak dan Kebebasan Parlimen…

Wan Ahmad Fayhsal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu usul untuk merujuk Ahli Parlimen Seremban merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen akan dikemukakan.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, usul berkenaan akan dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (6) dan 36 (12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

- Advertisement -

“Pada 11 Mac 2024, Ahli Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan ketika Sesi Jawapan Menteri ke atas Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah membuat kenyataan (dalam bahasa Inggeris) berikut yang mengelirukan Dewan yang mulia ini (yang diterjemah seperti berikut),”:

“Yang pertamanya itu ialah andaian Yang Berhormat sahaja. Belum pun ada pengumuman kata kita nak jual kepada Global Infrastructure Partners (GIP). Itu andaian Yang Berhormat. Itu yang saya kata, itu andaian.”

“Setakat ini, tidak ada langsung confirmation bahawa Khazanah telah memasuki perjanjian dengan mana-mana pihak. Kalau ada, sudah tentu akan ada pengumuman, Yang Berhormat. Okay? Puas hati ya? Jadi, tak payah lagi spin isu ini, ya.” 

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, kenyataan tersebut bersifat sangkaan jahat ke atas dirinya sebagai ahli majlis mesyuarat kerana cuba menggambarkan dirinya seolah-olah membuat tuduhan secara melulu tanpa asas pengetahuan dan menuduh beliau ‘spin’ atau memutar belit perkara yang dibangkitkan.

Selain tidak berterus-terang, kenyataan itu juga dianggap satu pembohongan kerana pada 4 Mac 2024, portal The Edge Malaysia dalam laporan beritanya bertajuk Khazanah, KWSP dan GIP membentuk konsortium untuk mengendalikan MAHB yang turut diterbitkan secara bercetak menyatakan: 

“Khazanah Nasional Bhd., Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan firma ekuiti persendirian (PE) yang beribu pejabat di New York, Global Infrastructure Partners (GIP) difahamkan akan membentuk konsortium untuk memiliki dan menguruskan pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd.”

Tambahnya, pada 15 Mei 2024, secara bersama atas Gateway Development Alliance yang terdiri daripada Khazanah, EPF, Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan GIP sebagai pemegang saham antaranya telah menyatakan: 

“Konsortium itu diterajui oleh dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia- Khazanah melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Berhad (UEMG) dan KWSP. Pemegang saham Konsortium itu terdiri daripada anak syarikat milik penuh ADIA dan dana yang diuruskan oleh GIP, salah satu pelabur infrastruktur utama dunia serta pemilik dan pengurus lapangan terbang yang berpengalaman.”

“Apabila Tawaran tersebut selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40% dan KWSP daripada 7.9% kepada 30%. Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70% daripada MAHB. ADIA dan GIP akan memegang baki 30%. Kerajaan Malaysia akan mengekalkan hak saham khas dalam MAHB dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif akan kekal milik warganegara Malaysia.”

“Oleh itu, kenyataan Ahli Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan tersebut adalah jelas mempunyai unsur sangkaan jahat dan tujuan mengelirukan Dewan ini yang menyalahi Peraturan Mesyuarat 36 (6) dan 36 (12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Maka, saya, Ahli Parlimen Machang dengan ini mengusulkan supaya Ahli Parlimen Seremban dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di atas perbuatannya untuk menentukan dan menghukum Ahli Parlimen Seremban yang telah bersangkaan jahat serta mengelirukan Dewan ini dengan kenyataan-kenyataannya yang tidak berterus-terang dan bohong tersebut,” katanya. –HARAKAHDAILY 21/5/2024

- Advertisement -