Penarik beca Bandar Hilir menangis depan YB

- Advertisement -

TANGGA BATU: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin tidak menyangka seorang penarik beca menangis di hadapannya meluahkan kesukaran yang dihadapi akibat penutupan jalan dalam program Zon Bebas Kenderaan di Bandar Hilir.

- Advertisement -

Menurut beliau, kejadian itu berlaku sewaktu tinjauannya bersama-sama dengan Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakob dan pempengaruh terkenal YB Viral pada hujung minggu lepas.

“Jika anda melihat video yang sempat kami rakam, ada seorang penarik beca yang telah puluhan tahun menarik beca di situ menangis di depan kami kerana pendapatannya sebagai penarik beca merosot teruk. 

“Pakcik tu kata sebelum ini dia boleh perolehi pendapatan lebih RM200, tapi sekarang nak dapat RM50 pun susah. Pakcik itu mengeluh nak bayar sewa rumah RM800 sebulan. Menangis dia,” kata beliau.

Tinjauan Harakahdaily mendapati video tersebut yang dimuat naik di aplikasi TikTok ‘Bakri Jamaluddin’ sejak 24 jam lepas kini sudah mencapai 254,300 tontonan, 12,400 tanda suka dan 818 komen.

Beliau turut menzahirkan rasa amat terkejut kepada pemerhatian dalam lawatan itu apabila melihat suasana lengang di kawasan pelancongan Bandar Hilir yang selalunya sesak setiap kali tiba cuti hujung minggu.

“Saya terkejut! Amat terkejut. Seumur hidup saya, yang saya tahu, kawasan Rumah Merah itu memang sentiasa ada ramai pengunjung. Saya macam tak percaya tengok apa yang berlaku pada Bandar Hilir sekarang.

“Semua ini berpunca daripada penutupan jalan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Melaka untuk Car Free Zone itu,” katanya kepada Harakahdaily sewaktu ditemui di Pusat Khidmatnya hari ini.

Tambah Bakri, setelah hampir setengah tahun pelaksanaan itu berlangsung, kerajaan seharusnya sudah dapat menilai kesan daripada polisi tersebut terutama terhadap peniaga yang rata-rata adalah anak jati Melaka.

Katanya, berdasarkan maklumat dari para peniaga, pendapatan mereka terjejas teruk semenjak polisi menutup jalan pada Jumaat petang sehingga tengah malam hari Ahad itu.

“Jika kita lihat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sendiri pernah berkata bahawa mereka akan membuat kajian penilaian setiap tiga bulan berkaitan perkara ini.

“Tidak mungkin mereka yang membuat penilaian itu tidak dapat melihat kurangnya pelancong tempatan yang datang ke situ? Takkan mereka tidak mendengar keluhan peniaga? Takkan mereka tidak nampak dengan mata kepala mereka sendiri?” soalnya.

Bakri juga meminta agar pihak kerajaan mengkaji semula keperluan polisi Zon Bebas Kenderaan tersebut yang kini dilihat lebih banyak memberi keburukan berbanding kebaikan kepada peniaga-peniaga dan penarik beca.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan untuk membuka semula laluan tersebut setidak-tidaknya dari pagi hingga pukul 6 petang seperti yang diminta oleh para peniaga.

“Kerajaan negeri harus mengadakan pertemuan dengan para peniaga dan penarik beca yang menjadi pemegang taruh di situ untuk mencari jalan penyelesaian menang-menang dan perkara ini dapat diselesaikan segera.

“Saya faham tentang usaha karbon sifar dan penjagaan alam sekitar. Tetapi kita melihat apa yang berlaku ini menyebabkan kerosakan sosioekonomi pada rakyat Melaka dan pelancong pun makin kurang berkunjung ke situ,” katanya lagi.

Katanya lagi, kerajaan negeri sepatutnya membina dahulu infrastruktur dan fasiliti yang diperlukan bagi menampung kehadiran pelancong tempatan di mana kebiasaannya memandu kenderaan sendiri berbanding pelancong asing yang kebanyakannya datang dengan bas.

“Pelancong-pelancong tempatan yang bawa kenderaan sendiri ni mula menjauhi lokasi ni sebab mereka susah nak berjalan. Tak ada kemudahan seperti feeder bas atau buggy.

“Pelancong-pelancong tempatan ini yang sebenarnya banyak berbelanja di restoran-restoran makanan tempatan dan naik beca-beca yang ada di sini berbanding pelancong asing,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2024

- Advertisement -