Rombakan Kabinet gagal selesai masalah negara

Dr Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rombakan Kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri baru-baru ini dilihat gagal untuk menyelesaikan masalah dihadapi negara terutama dari sudut ekonomi.

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, hasil yang dilihat dari rombakan itu hanya mewujudkan kecelaruan dari segi tatakelola dan urus tadbir.

- Advertisement -

“Kalau setahun yang lalu rombakan Kabinet yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Tambun dilihat tidak berjaya menyelesaikan kemelut yang menggasak kehidupan rakyat.

“Malah rombakan kabinet baru-baru ini memperlihatkan wajah baharu dan lama dalam Kabinet. Apa yang menarik, Perdana Menteri telah mengangkat Timbalan Menteri Kewangan dari latar belakang bukan ekonomi. Ini jelas meresahkan rakyat.

“Adakah dengan melantik Yang Berhormat Menteri Kewangan II mampu mengukuhkan mata wang negara yang semakin hari semakin corot ke belakang,” ujarnya sewaktu perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Marzuk, rakyat tertunggu-tunggu apa tindakan kerajaan bagi menyelamatkan ekonomi negara, namun apa yang berlaku, rombakan penstrukturan semula Kabinet hanya menyebabkan kecelaruan dari segi tatakelola dan urus tadbir.

“Contohnya apabila Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dipecahkan kepada dua kementerian. Penstrukturan ini memberi implikasi kepada agensi-agensi tertentu.

“Dan apabila saya merujuk kepada butiran P50, saya telah kenal pasti bahawa Projek JENDELA telah diletakkan terus di bawah Kementerian Digital. Namun mengapa saya tidak melihat nama MCMC di bawah Kementerian Digital ini?

“Ini kerana dari sudut operasi pembayaran Projek JENDELA akan dibayar oleh Kementerian Digital. Namun dari sudut perolehan projek ia dibuat oleh Kementerian Komunikasi,” kata beliau.

Tambah beliau, ia jelas menunjukkan apa yang berlaku itu menggambarkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak betul dari sudut tatakelola.

Sepatutnya, tambah Marzuk, sekiranya perlu untuk dipecahkan antara Kementerian Komunikasi Digital, wujudkan satu lagi Kementerian Penerangan agar tidak berlaku pertindihan tugas. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -