Jangan sewenangnya wujud atau tutup jabatan, kementerian

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti sama ada jabatan atau kementerian boleh diwujudkan ataupun ditutup kerana dibimbangi suatu hari nanti berlaku cadangan untuk tutup Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sebagainya atas keputusan kerajaan.
|
Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, sekurang-kurangnya jika ada sebuah jawatankuasa, tidaklah sebulat-bulatnya keputusan kerajaan dibuat tanpa mengambil kira pandangan jabatan berkenaan.

- Advertisement -

“Saya cadangkan pihak kerajaan perlu melalui proses ini terlebih dahulu contohlah kalau nak tutup sesuatu jabatan ataupun kementerian, (libatkan) KSN (Ketua Setiausaha Negara), KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), dan KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) ataupun ketua pengarah semasa.

“Jabatan ataupun kementerian tersebut perlu membuat laporan dan pertahankan bidang tugas serta KPI jabatan berkenaan di depan jawatankuasa yang ditubuhkan.

“Bagi mewujudkan sesuatu kementerian ataupun jabatan perlu ada jawatankuasa yang dianggotai oleh MOF (Kementerian Kewangan) dan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk menilai implikasi kewangan aset dan semua yang berkaitan.

“Contoh dulu pernah tutup ataupun pindah BTN (Biro Tatanegara), sekarang wujudkan semula atas nama baharu, sama ada nama akademi, kenegaraan atau sebagainya,” ujar beliau.

Abdul Latiff mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 peringkat dasar di Dewan Rakyat, di sini, sebentar tadi.

Abdul Latiff berkata, penguntukan semula peruntukan sebanyak RM648,537,400 adalah bertujuan untuk perbelanjaan tahun 2024 bagi fungsi kementerian yang terlibat dalam penyusunan semula.

“Bila YAB Perdana Menteri umumkan senarai Kabinet dan kementerian seawal pentadbiran beliau dengan jumlah kementerian yang dikurangkan kononnya bagi mengurangkan jumlah anggota Kabinet.

“Namun dengan rombakan Kabinet selepas kira-kira setahun kerajaan campuran telah berlaku pertambahan anggota Kabinet kerana terdapat kementerian yang telah dipecahkan dan kementerian baru diwujudkan.

“Dengan rombakan Kabinet ini akan berlaku pertambahan dan kos dan implikasi kewangan kerajaan termasuk aset penjenamaan semula seperti tanda nama kementerian, kepala surat, kad nama dan banyak lagi,” ujar beliau.

Walaupun nampak sedikit menurutnya, tapi sebenarnya sudah pasti kos akan bertambah dan selain itu, agensi jabatan dan para pegawai juga akan bertukar dengan perubahan kementerian ini.

“Ini akan memberikan tekanan kepada penjawat awam di kementerian terlibat dan mereka menjadi mangsa keadaan kerana telah dipaksa rela oleh kerajaan, dalam isu rombakan Kabinet.

“Sekali gus melibatkan perubahan kedudukan jabatan dan agensi perlu diambil kira implikasi, politik dan sebagainya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -