Pengguna media sosial terdedah penipuan siber

Azman Nasrudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majoriti masyarakat negara ini gemar menggunakan media sosial dan internet sebagai sumber untuk mendapatkan informasi, kata Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai).

“Namun selalunya mereka terlalu mudah terpedaya untuk mengakses pautan yang curiga tanpa meneliti terlebih dahulu keaslian sumbernya.

- Advertisement -

“Tindakan ini secara tidak sengaja membuka peluang kepada ancaman siber seperti godam yang semakin berleluasa di platform media sosial dan aplikasi pesanan ringkas seperti WhatsApp, Telegram dan Messenger,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Tambah beliau, kini terlalu ramai masyarakat menjadi mangsa atas sindiket penipuan dan jumlah penipuan dari ratusan ringgit hinggalah mencecah ribuan ringgit atas setiap individu yang menjadi mangsa.

“Sebagai contoh seorang pelajar wanita terperangkap dengan pautan promosi pakej telefon percuma dan wang tunai palsu menyebabkan kerugian RM14,672 pada Januari yang lalu.

“Selain itu, seorang lagi adalah lelaki warga emas berusia 77 tahun daripada Penampang, Sabah yang menerima panggilan mengaku dari bank pada 8 Januari yang lalu.

“Beliau diminta mengesahkan transaksi dan menekan link untuk membatalkannya,. Selepas menekan link itu beliau diminta memasukkan maklumat perbankan, akibatnya beliau rugi RM57,298 dari akaun bank dan RM19,994 dari kad kredit menjadikan jumlah kerugian sebanyak RM77,292,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -