Kepayahan kayu ukur penambahan pahala

Ustaz Ahmad Yahya muncul dalam program Tazkirah Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) berjudul, Puasa Sama Pahala Beza di Kuala Lumpur pada hari ini, 25 Mac 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penambahan kadar pahala puasa adalah mengikut kepada kepayahan seseorang itu alami ketika berpuasa di bulan Ramadan.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yahya berkata Imam Izzuddin Abdissalam dalam kitab Qawaidul Ahkam ada menyebut perbezaan penambahan pahala bukan berasaskan kepada amalan itu sendiri tetapi kepada kesusahan dalam melaksanakan sesuatu amal ibadat.

- Advertisement -

“Dalam satu per satu amalan yang kita buat perbandingan seperti sama-sama berpuasa bermula dari terbit fajar sehingga waktu berbuka yang walaupun perbuatan dan pahalanya sama tetapi yang membezakan penambahan kadar pahala ialah kesusahan yang seseorang itu tanggung,” katanya.

Menurut beliau, perkara tersebut mempunyai persamaan dengan dua orang yang beribadah dalam sesebuah masjid dan walaupun pahalanya sama tetapi jarak perjalanan ke masjid yang akan menjadi kayu pengukur dalam kadar penambahan pahala itu sendiri.

Tambah beliau, ibadah menunaikan haji dan apa jua ibadah yang dilakukan juga adalah berasaskan konsep tersebut kerana segala penambahan pahala juga adalah bergantung kepada bebanan yang seseorang itu lalui.

“Cara Imam Izzudin Abdissalam nak bagi kita mudah faham untuk membuat perbandingan ini adalah seperti seseorang yang mandi dan mengangkat hadas besar (mandi wajib) yang mana mandi itu sama dari segi syaratnya, rukunnya tetapi bezanya ialah dari sudut beban yang dia tanggung.

“Sebagai contoh, seseorang yang mandi ketika musim panas berbeza dengan mandi ketika musim sejuk kerana apabila apabila kita mandi pada musim panas kita rasa selesa tetapi kita akan cuba mengelak ketika musim sejuk ataupun sekurang-kurangnya kita usahakan untuk mandi air yang panas.

“Ini menunjukkan bahawa ada kepayahan yang kita terpaksa tempur dalam situasi-situasi sebegitu dan itu merupakan satu contoh untuk membuat perbandingan penambahan pahala dalam apa pun amalan yang kita lakukan,” kongsinya.

Beliau berkata demikian dalam Tazkirah Zohor Ramadan berjudul, Puasa Sama Pahala Beza anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) yang diadakan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini, hari ini, yang juga boleh diikuti melalui Facebook HarakahDaily dan Facebook TV PAS. 

Beliau juga berpesan kepada setiap umat Islam supaya menguruskan amal ibadah melalui hati yang baik lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan.

Ini kerana kata beliau, segala ibadah yang dilakukan mestilah dengan niat yang sepenuhnya kepada Allah SWT yang merupakan Tuhan yang Maha Esa.

“Oleh sebab itu kita uruskan hati kita dengan baik walau apa pun agar hati kita sentiasa di sepanjang melakukan ibadah hanya mengingati Allah Taa’la dan semua itu menjadi asbab untuk Dia menilai dan memberi ganjaran-ganjaran-Nya,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -