PAS Selangor sambut cabaran Adam Adli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Selangor menyambut baik cabaran Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim untuk berkempen tanpa fitnah atau menyerang  secara peribadi.

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, ia  adalah selari dengan prinsip Budaya Politik Matang dan Sejehtera (BPMS) yang diperkenalkan oleh PAS.

“PAS Selangor ingin mengingatkan Adam Adli bahawa perkara serang peribadi dan fitnah adalah budaya politik Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang.

- Advertisement -

“Hal ini termasuklah dalam siri kempen politik Adam Adli di jalan raya suatu ketika dahulu yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Azam Baki,” katanya dalam suatu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, PAS Selangor juga ingin mencabar Ketua Pemuda AMK yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan untuk memastikan demokrasi dalam negara ini terjamin dengan mengecam dan menghalang mana-mana pimpinan PH atau Barisan Nasional (BN) menggunakan dana atau jentera kerajaan di Kuala Kubu Bharu.

Zurk Ahmad (kiri) dan Adam Adli

“Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku parti yang mendukung prinsip demokrasi seharusnya lebih maklum dan peka dengan budaya politik jijik menggunakan dana dan jentera kerajaan.

“Perkara sedemikian sekaligus merosakkan demokrasi dalam negara dan memalukan nama Malaysia di peringkat antarabangsa,”  katanya lagi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini, dan 27 April pula sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -