Gaza: PASRelief salur bantuan Aidilfitri RM5 juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PASRelief telah menyalurkan bantuan wang tunai sempena perayaan Aidilfitri kepada penduduk Gaza melebihi RM5 juta sebagai langkah tambahan.

Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, bantuan tersebut bertujuan untuk memberikan sedikit kelegaan dan kegembiraan kepada mereka yang meraikan hari raya dalam keadaan yang mencabar.

- Advertisement -

“Kejayaan PASRelief dalam menghantar bantuan ke Gaza adalah bukti komitmen organisasi ini terhadap kemanusiaan. Melalui usaha gigih dan kerjasama dengan pelbagai pihak, PASRelief telah membuktikan bahawa solidariti dan bantuan boleh membuat perbezaan yang besar dalam kehidupan mereka yang terjejas oleh konflik.

“Kita berharap bantuan yang disalurkan akan terus memberikan harapan dan sokongan kepada penduduk Gaza yang berjuang untuk membangun semula kehidupan mereka.

“PASRelief terus berkomitmen untuk menyokong penduduk Gaza dengan menghantar bantuan secara berkala,”katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pada awal konflik di Gaza, PASRelief telah bertindak cepat untuk mengatur penghantaran bantuan iaitu termasuk bekalan perubatan, makanan seperti tin tuna, pes tomato, dan tepung gandum, serta air minuman botol. 

“Bantuan dalam bentuk pembinaan semula khemah-khemah pelarian juga telah diusahakan. Antara sumbangan yang paling besar adalah dengan membeli dua buah ambulans bagi kegunaan di sempadan Rafah untuk membawa keluar pelarian yang cedera ke Hospital Medan,” ujar Mohd Yusni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga. 

Tambah beliau, sejak permulaan konflik di Gaza pada Oktober 2023, PASRelief telah memainkan peranan penting dalam menyediakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas. 

“Dengan dedikasi dan usaha yang tidak kenal lelah, PASRelief telah berjaya menghantar bantuan yang sangat diperlukan, termasuk wang tunai, kepada mereka yang paling memerlukan,” katanya.

Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan melalui https://infaqpay.my/plus/tabung-bantuan-palestine-pasrelief atau terus ke akaun Maybank Islamic (Tabung Kemanusiaan PASRelief) 5640-7061-4481 serta boleh dihubungi melalui Hotline PASRelief http://www.wasap.my/60175001144/. – HARAKAHDAILY 18/4/2024

- Advertisement -