Israel serang Iran

- Advertisement -

TEHRAN: Israel dilaporkan telah menyerang Iran, menurut paparan Newsglobeofficial melalui instagram pada pagi ini, memetik laporan ABC News yang melaporkan bahawa sumber kerajaan Amerika Syarikat telah mengesahkan serangan peluru berpandu di beberapa lokasi di Iran.

Sementara itu, Kor Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRCG) juga dilaporkan telah mengesahkan peluru berpandu telah melanda beberapa lokasi di bandar Qahjaverestan. Laporan juga menyebut serangan turut melanda Iraq dan selatan Syria.

- Advertisement -

Dalam pada itu, agensi berita Iran, Iranian Fars pula melaporkan berlaku letupan di bandar raya Isfahan, di tengah Iran, menyebabkan operasi penerbangan di ruang udara Iran terutama ke Tehran, Isfahan dan Shiraz dihentikan.

Isfahan juga merupakan rumah kepada tapak yang dikaitkan dengan program nuklear Iran, termasuk tapak bawah tanah Natanz yang telah berulang kali disyaki Iran menjadi sasaran serangan Israel sebelum ini.

Bagaimanapun, laporan siaran televisyen Iran, IRNA dalam laporannya menyifatkan setakat ini semua tapak di kawasan itu sebagai ‘selamat sepenuhnya’.

Bandar raya Isfahan di Iran yang dilaporkan antara lokasi yang diserang Israel. (FOTO FAIL: en.khuisf.ac.ir)

Sementara itu, laporan juga menyebut harga minyak juga telah melonjak naik lebih 4 peratus susulan berita serangan Israel ke atas Iran berkenaan.

Serangan Israel terhadap Iran itu muncul selepas Iran menyerang Israel pada 14 April lalu dengan serangan peluru berpandu dan beratus-ratus dron sebagai tindakbalas berikutan konsulatnya di Damsyik, Syria dibom pada 1 April lepas menyebabkan tujuh pegawai IRCG terkorban – yang didakwa Tehran didalangi Zionis.

Iran sudah banyak kali menuduh Israel melakukan serangan terhadap Republik Islam termasuk beberapa siri serangan dron; yang terbaharu pada Januari tahun ini, apabila saluran paip gas asli di Iran diserang, dengan Menteri Minyak Iran, Javad Owji menegaskan bahawa ‘letupan saluran paip gas di Iran adalah rancangan jahat Israel’. – Agensi – HARAKAHDAILY 19/4/2024

- Advertisement -