Sunni, Syiah: Islam perlu bersatu menentang Zionis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam digesa bersatu padu membina kekuatan tanpa mengira Sunni atau Syiah kerana masa depan dan kepentingan umat Islam Palestin perlu diutamakan dan musuh utama umat Islam ialah Zionis laknatullah.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, kesatuan ummah adalah asas kekuatan manakala kepentingan agama dan umat Islam seharusnya mendahului kepentingan lain. 

- Advertisement -

Beliau berkata, terkini sudah menghampiri tujuh bulan saudara kita di Gaza Palestin dizalimi dengan tindakan luar batasan kemanusiaan yang tidak mampu untuk digambarkan.

“Serangan jahat rejim Israel sudah membunuh lebih 34,000 nyawa sepanjang enam bulan perang di Semenanjung Gaza yang diduduki. Seramai hampir 80,000 orang cedera sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023 menyebabkan perpindahan dan kemusnahan besar-besaran. 

“Serangan berterusan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan. Lebih 60 peratus infrastruktur di wilayah terkepung rosak atau musnah sepenuhnya. Bertambah malang, kebuluran terus berlaku di Gaza.

“Justeru, hanya akses yang berterusan dan lebih banyak bekalan diperlukan bagi menyelamatkan nyawa mereka,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini. Dukacita dirasakan menurutnya apabila melihat keadaan umat Islam yang masih tidak dapat membina kata sepakat dalam isu Palestin.  

“Apakah peranan negara-negara Islam yang berjiran dengan Palestin? Lebih teruk lagi ada yang masih membakar api perpecahan antara Sunni dan Syiah apabila Iran mengambil tindakan ke atas kejahatan Israel,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

- Advertisement -