Konvensyen Fekah Penyatuan Ummah Sabtu ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Konvensyen Fiqh al-Wehdah atau Fekah Penyatuan Ummah akan diadakan pada Sabtu (4 Mei) ini bertempat di Dewan Dato’ Fadzil Noor, Akademi Pendidikan KUIZM, Gombak bermula jam 8:30 pagi hingga jam 1:30 petang.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program ini akan membicarakan pelbagai tajuk yang sangat menarik untuk sama-sama dihayati dan terdapat tujuh kertas kerja akan dibentangkan dalam seminar ini.

- Advertisement -

“Dan bersama-samanya ada 10 lagi kertas kerja iringan yang juga turut disediakan oleh tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai institusi pengajian tinggi yang turut membicarakan tentang pelbagai isu penyatuan ummah.

“Kita akui bahawa umat ini perlukan penyatuan dan Islam mendahului agama-agama lain, budaya-budaya lain bagi menyatukan umat manusia atas beberapa prinsip yang telah digariskan oleh syarak.

“Kepada mereka yang cintakan penyatuan ummah, nak lihat ummah ini bersatu sebelum kita terlambat marilah sama-sama kita menghadiri seminar yang sangat penting ini bagi bicarakan tentang fiqh wehdah ataupun fiqah penyatuan. Insya-Allah mudah-mudahan Allah Taala memberkati usaha ini dan jumpa di sana nanti insya-Allah,” kata beliau di dalam satu video.

Terdapat sembilan jemputan yang akan terlibat di mana pertamanya, Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan memberikan ucaptama program.

Keduanya, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohd Jan akan membentangkan tajuk ‘Islam Menyatukan Umat: Aplikasi dari Sirah’.

Ketiganya, Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail akan membentangkan tajuk ‘Mendepani Serangan Pemikiran Dalam Menyatukan Ummah dengan Islam’.

Keempatnya, Felo Penyelidik, Institut Fatwa Dan Halal (IFFAH), USIM, Profesor Dr Irwan Mohd Subri akan membentangkan tajuk ‘Rahmatul Ummah Fi Ikhtilaf al-Aimmah’.

Kelimanya, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV-USIM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi akan membentangkan tajuk ‘Mendepani Cabaran Menuju Kesatuan Ekonomi Politik Islam’.

Pembentang keenam, Pegawai Penyelidik Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Dr Mohd Fadli Ghani akan membentangkan tajuk ‘Liku-liku Gerakan Islam di Malaysia dalam Usaha Menyatukan Ummah dengan Islam’.

Sementara pembentang ketujuh ialah Ahli Lembaga Pengarah, Akademi Pendidikan KUIZM, Dr Zuhdi Marzuki akan membentangkan tajuk ‘Survival Politik Melayu Islam dalam Politik Malaysia’.

Ucapan perasmian penutup akan disampaikan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala resolusi akan dikendalikan oleh Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nushi Mahfodz.

Berkenaan maklumat pendaftaran program ini boleh dihubungi melalui Zulfah (+6018-7652544) dan Nazahah (+6011-39142813). – HARAKAHDAILY 30/4/2024

- Advertisement -