Wan Mohamad dilantik Majlis Tertinggi Liga Muslim Sedunia

Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang Di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia (YDP-PUM), Dato’ Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz telah dilantik sebagai Anggota Majlis Tertinggi Liga Muslim Sedunia (Rabitah al-Alam al-Islami) yang berpusat di Makkah al-Mukarramah.

Setiausaha Agungnya, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor, berkata pelantikan ini merupakan berita yang membanggakan semua pihak.  

- Advertisement -

“Oleh kerana Dato’ Wan Mohamad merupakan wakil dari Malaysia yang diberi penghormatan kerana telah dilantik menganggotai Majlis Tertinggi tersebut,” katanya dalam suatu kenyataan, hari ini.

Pelantikan Dato’ Wan Mohamad adalah merupakan individu yang keempat yang dilantik dari Malaysia. 

Sebelum ini, anggota Majlis Tertinggi badan ini pernah di anggotai oleh Tan Sri Abd Jalil Hasan, Tun Abdul Rahman Yaacob dan Tun Abdul Taib Mahmud. 

“PUM sangat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Liga Muslim Sedunia di atas pelantikan YDP-PUM Dato’ Wan Mohamad ini. 

“PUM bersedia menjadi penghubung dengan semua pihak sama ada badan-badan NGO atau mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan atau Negeri bagi memperkasakan lagi usaha dakwah dan kebajikan yang menepati realiti Malaysia yang kita cintai,” katanya.

Dato’ Wan Mohamad merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2006 hingga 21 April 2012.

Setelah lama bersara dalam perkhidmatan awam, Wan Mohamad dilantik sebagai Setiausaha Politik (SUPOL) kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

- Advertisement -