KUALA LUMPUR: PAS mengalu-alukan tindakan pantas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkait kejadian kemalangan dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak semalam, termasuk membatalkan acara sambutan ulang tahun TLDM yang dijadualkan Jumaat ini yang digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS juga menyambut baik jaminan Khaled untuk bukan sahaja membantu menguruskan jenazah mangsa-mangsa, tetapi juga mengurus semua manfaat serta faedah-faedah yang sewajarnya diterima oleh balu dan keluarga mangsa-mangsa terbabit bagi menjaga kebajikan mereka.
“Walaupun tidak menetapkan had masa untuk menyediakan laporan interim kejadian, jaminan menteri untuk melakukannya.
“Selain keputusan kementerian untuk menubuhkan sebuah lembaga siasatan TLDM bagi mengenal pasti punca kejadian adalah langkah yang tepat dan sewajarnya disegerakan tanpa lengah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan PAS merakamkan rasa sedih dan terkejut atas insiden kemalangan helikopter yang mengorbankan 10 orang anggota tentera dalam raptai lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun ke-90 TLDM di Pangkalan TLDM Lumut awal pagi semalam itu.
“Kehilangan serentak anggota (TLDM) seramai itu yang rata-rata dilaporkan berusia bawah 40 tahun adalah kerugian besar kepada pasukan, negara serta seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi kepada keluarga mangsa terbabit.
“PAS mengucapkan takziah kepada keluarga semua anggota terlibat dengan harapan mereka akan menemui kekuatan untuk mengharungi kehilangan ini dengan tabah dan sabar, selain mendoakan kesejahteraan dan kebaikan kepada mangsa,” katanya.
Semalam, Helikopter Operasi Maritim HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) masing-masing dilaporkan berlanggar antara satu sama lain di ruang udara sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut dan mengorbankan 10 mangsa. – HARAKAHDAILY 24/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!