Titah tahanan rumah: Kredibiliti yang tercalar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan pemerintah berkaitan dengan pengampunan diraja merupakan satu keputusan yang besar dan penting, lebih-lebih lagi bila ia melibatkan individu berprofil tinggi dan berkaitan dengan kes besar.

- Advertisement -

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, hal itu bukan sahaja menjadi tumpuan negara, bahkan masyarakat antarabangsa dan adalah memalukan apabila wujud pertikaian berkaitan dokumentasi keputusan yang besar ini.

Bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah memohon untuk semakan kehakiman berkaitan kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16 supaya beliau menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan rumah.

Menurut Dr Fathi, permohonan ini tentunya mencalarkan kewibawaan institusi kerajaan yang menguruskan proses pengampunan dan dokumentasi berkaitan, tambahan pula, soal pengampunan diraja melibatkan kuasa budi bicara YDPA yang termaktub dalam Perlembagaan. 

“Sepatutnya seluruh proses penyediaan dokumen dilaksanakan dengan teliti, cermat, jelas dan mengikut protokol serta peraturan. Jika semuanya dipatuhi sepatutnya tidak timbul pertikaian. Bila ada pertikaian, maknanya ada sesuatu yang tidak kena.

“Kewibawaan yang sedia tercalar diburukkan lagi dengan afidavit dari orang nombor dua negara yang menambahkan persoalan berkaitan integriti dalam mentadbir negara. Apa yang berlaku menimbulkan persoalan dalam fikiran rakyat. 

“Siapa yang benar? Siapa yang salah? Jika titah tambahan wujud, kenapa tidak dilaksanakan? Kalau tidak wujud, kenapa ditimbulkan perkara ini?” hujah Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Menurut beliau, jika afidavit itu betul, bermakna ada penyelewengan dalam menguruskan ketetapan diraja, sedangkan menyembunyikan titah diraja atau enggan melaksanakan tanpa asas yang jelas adalah satu bentuk penderhakaan.

Sebaliknya tegas beliau, jika affidavit itu palsu, bermaksud seorang pemimpin kanan negara telah mempermainkan sistem keadilan negara, bahkan boleh dianggap juga satu penghinaan kepada institusi istana kerana mempermainkan kewujudan titah diraja.

“Sepatutnya dalam perkara yang besar begini, penjelasan segera perlu diberikan kepada rakyat. Jika perlu, individu atau pihak yang menjadi punca yang merobekkan kewibawaan kerajaan perlu tampil bertanggungjawab dan meletakkan jawatan. 

“Rakyat menunggu penjelasan,” ujar beliau yang bertugas di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak. – HARAKAHDAILY 19/4/2024

- Advertisement -