Jalur propaganda Barat dalam menghadapi Iran

- Advertisement -

HARI ini kita menyaksikan propaganda yang konsisten dimainkan. Iaitu, mana-mana tindakan Iran, khususnya di peringkat antarabangsa, terus dilabel sebagai agenda Syi’ah. Apa-apa yang dikaitkan dengan Iran, langsung dibayangi dengan sentimen mazhab itu. Negara yang berunding dengan Iran, dianggap kawan Syi’ah. 

- Advertisement -

Bukan sekadar itu, mana-mana pendirian Iran seoah-olah harus diboikot oleh umat-umat Islam atas semangat Ahlus Sunnahnya. Semuanya diborongkan atas nama mazhab. Apabila Iran membalas serangan Israel baru-baru ini, ada asatizah di Malaysia secara simplistik mengaitkannya dengan Syi’ah di meja-meja kuliah. Kenapa minda umat Islam ter’blok’ sebegitu? 

▪️ Bilakah ‘Syi’ah’ Itu Mula Diratibkan Oleh Amerika?

Dalam tulisan ini, saya akan kongsikan peranan Amerika dalam menyemarakkan sentimen ini, demi survival politik mereka. Jika dilihat sudut pandang sejarah, Syi’ah atau Sunni, bukanlah menjadi bualan Amerika. Namun, ia menjadi bahan bualan dan propaganda Amerika khususnya sejak Revolusi Iran 1979.

Iran asalnya sebuah negara proksi Barat. Ia diperintah oleh Shah Iran, yang juga bermazhab Syi’ah. Barat dapat mengaut banyak keuntungan semasa keberadaan Shah Iran. Selain daripada minyak, ia membantu mengukuhkan blok Barat dalam persaingan dengan Soviet dalam Cold War. 

Namun, kestabilan politik Shah Iran semakin menggoyang atas banyak faktor, termasuk kecenderungannya menyebelahi blok Barat. Ketika itu, Amerika cuba berpakat dengan Iraq untuk menyekat kebangkitan di Iran. Hassan Bakar yang merupakan Presiden Iraq tidak memberi kerjasama sehinggalah beliau digulingkan.

Hassan Bakar digantikan dengan Saddam Hussein. Setelah Shah Iran digulingkan di Iran, Amerika cuba berpakat dengan Saddam Hussein yang baru menaiki takhta di Iraq. Beliau diprovok dengan kebangkitan ‘Syiah’ di Iran yang dikatakan bakal merebak, dan menggugat kekuasaannya di Iraq. Sentimen Syiah diperbesarkan.

Lantas Saddam Hussein yang bermazhab Sunni dipergunakan untuk memerangi Iran kerana bimbangkan Syiah itu. Amerika di belakang tabir, bertepuk tangan dengan kejayaan propaganda ini. Disebabkan permainan sektarian mazhab ini, Amerika tak perlu bersusah payah menyekat kebangkitan Iran, memadai dengan hidupkan sentimen Mazhab, Iran boleh dilaga-lagakan dengan orang-orang Sunni yang tertipu.

Perang Iran VS Iraq terjadi antara 1980 hingga 1988 yang mengorbankan ratusan ribu kematian umat Islam. Korban bukanlah orang Amerika. Bukan juga orang Soviet. 

▪️ Islamophobia Bermula

Perang Iran-Iraq tamat 1988, manakala Soviet tumbang pada 1992. Namun, Amerika masih tidak sedap duduk kerana kebangkitan Islam mulai menyinar. Perkara ini disuarakan oleh Samuel P. Huntington dalam satu artikel Majalah Foreign Affairs pada 1993. Tajuk ini menimbulkan perdebatan yang panas, sehinggalah mencetuskan kepada penerbitan buku yang bertajuk The Clash of Civilazations pada 1996. 

Dalam buku ini, Huntington mengemukakan teori bahawa Amerika mesti mengisytiharkan musuh barunya. Beliau menggesa supaya Amerika memberi fokus kepada Islam yang ketika itu dilihat berpotensi mengancam hegemoni Barat. Justeru, langkah yang terbaik bagi Amerika ialah dengan menakutkan orang terhadap Islam.

Pada 26 Februari 1993, FBI menyiarkan berita pengeboman World Trade Center (WTC) yang dikatakan dilakukan oleh rangkaian Osama ben Laden [1]. Berita awal ini dianggap sebagai point utama untuk kaitkan Islam dengan keganasan. Lalu, watak Osama ben Laden pun dipasarkan di merata tempat. 

Projek Islamophobia mula dihidupkan, atas jenama menentang keganasan. Watak gerakan Islam ketika itu atas label Rangkaian al Qaeda. Semua jenama gerakan-gerakan yang dikaitkan dengan nama Islam muncul selepas itu, dan dipautkan dengan al Qaeda sehinggalah ke hari ini.

▪️ Campurtangan Amerika atas Jenama Memerangi Keganasan

Pada Januari 2001, Amerika menyiarkan maklumat projek menentang keganasan yang dikaitkan atas nama Islam [2]. Artikel yang diterbitkan dengan tajuk Patterns of Global Terrorism 1996, yang menyenaraikan sebanyak 7 negara yang merupakan paksi keganasan. 5 daripadanya adalah negara Islam.

Negara-negara tersebut ialah Iran, Iraq, Libya, Sudan dan Syria. Namun, mengikut Dr Munir Ghadban, senarai negara-negara ini telah disiarkan seawal 1983 lagi. Ketika itu, Amerika sedang rancak memasarkan demokrasi melalui pertubuhan-pertubuhan yang ditaja.

Bermodalkan watak Osama ben Laden dan rangkaian al Qaeda, Amerika ‘meronda’ negara-negara Islam atas alasan ingin menjaga keamaan, dan memburu pengganas. Namun, apa yang dilihat ia seolah-olah ia adalah tiket untuk membenarkan pencerobohan dan campurtangan Amerika ke dalam negara-negara Islam.

Bahkan, peristiwa pelanggaran WTC pada 11 September 2001 juga turut dikaitkan dengan gerakan al Qaeda. Pelanggaran ini boleh dikatakan sebagai ‘perasmian’ kepada agenda Islamophobia yang dilancarkan oleh Amerika. 

▪️ Dokumen RAND Bertajuk After 9/11

Dokumen ini diterbitkan pada 2004, selepas peristiwa pelanggaran WTC pada 11 September 2001. Dokumen ini menghuraikan tentang situasi negara-negara Islam di seluruh dunia, termasuk Malaysia, yang perlu mereka hadapi, atas tiket memerangi keganasan, dan mengukuhkan dasar luar Amerika (Liberalisme)

Selain itu, dokumen ini menggambarkan tentang cabaran yang dihadapi oleh Amerika bagi menghadapi Islam yang semakin diterima di negara-negara tersebut. Mereka jenamakan pertembungan ini sebagai War of Idea, iaitu pertembungan antara Liberalisme yang menjadi dasar luar Amerika, dengan Islam. 

Di sinilah Dokumen RAND meletakkan idea samada menghadapi Islam dengan jalan kekerasan iaitu beralasankan ‘melawan teroris’ atau pun melalui kuasa lunak (soft power). Kuasa lunak yang dimaksudkan ialah penyebaran ideologi Barat melalui forum, wacana, mewujudkan pertubuhan atau sebagainya bagi mencairkan cara fikir Islam.

Manakala negara-negara Islam yang dilihat tak boleh gunakan kuasa lunak, RAND mencadangkan agar membakar sentimen perselisihan mazhab atau perang saudara sesama Islam, lantas membuka ruang campurtangan Amerika. Justeru, untuk merealisasikan hasrat ini, mereka perlu nyalakan api pertembungan mazhab.

▪️ Unfolding The Future of Long War

Dokumen ini diterbitkan oleh RAND Corp pada 2008. Ia merupakan pelan jangkamasa panjang untuk menghadapi kekuatan Islam. Pertentangan mereka dengan Islam sejak terbitnya buku Clash of Civilazation oleh Huntington, kemudian berkembang menjadi projek Islamophobia pada 2001, dan seterusnya jaringan Liberalisme (Building Moderate Muslim Networks).

Dalam dokumen ini menyenaraikan beberapa objektif mereka, antaranya ialah memerangi keganasan. Keganasan yang dimaksudkan ialah bersusur-galur daripada projek Islamophobia yang melabelkan Islam politik sebagai gerakan keganasan. Objektif mereka termasuk juga menjaga keselamatan Amerika, dan banyak lagi.

Justeru, menurut dokumen ini, untuk merealisasikan objektif-objektif ini, perlulah mewujudkan persengketaan dalaman Islam. Iaitu melalui perbezaan mazhab Sunni-Syi’ah. Tujuan persengketaan ini dihidupkan adalah bertujuan menguasai fokus umat Islam. Atau dengan kata lain, umat Islam perlu dihabiskan masa dan keringat mereka untuk berselisih dalam isu mazhab, berbanding fokus pertentangan mereka dengan Barat. 

▪️ Pakatan Sunni-Israel 2006

Berdasarkan 5 negara Islam yang diisytiharkan oleh Amerika sebagai paksi keganasan tadi, kesemuanya boleh dikatakan ranap pada era Arab Spring, kecuali Iran. Berbaki sebuah negara Islam sahaja lagi yang menjadi sasaran Islamophobia Amerika, sejak 1983. 

Justeru, untuk berhadapan dengan Iran, antara produk yang paling laris berdasarkan dokumen-dokumen RAND tadi ialah sentimen Mazhab. Amerika tak mungkin nak hadap Iran seorang diri. Bimbang Iran dapat sokongan daripada negara-negara Islam yang lain. 

Jadi, Amerika perlu wujudkan satu kempen Anti-Syi’ah. Pastinya sasaran kempen mereka ialah orang-orang Sunni. Kempen ini dilihat bermula dengan pakatan atas nama Sunni, melawan Syi’ah. 

Martin Indyk, bekas duta AS ke Israel yang kini felo di badan pemikir berpengaruh Institusi Brookings, mencadangkan satu pakatan melibatkan negara-negara Sunni dengan Israel, sebagai satu usaha menangani pengaruh Iran. [3]

Antara yang dikatakan oleh Martin Indyk yang disiarkan pada 28 Ogos 2006 [3];

“On the other hand, to paraphrase von Clausewitz, the question is who manages to turn the results on the battlefield into political gains, and there I’m a bit more optimistic. The campaign in Lebanon highlighted the dangers facing the Sunni Arab world from the Iranian-led Shia axis, from Iran to Iraq – which has a Shi’ite-dominated government – to the minority Alawite regime in Syria and Hezbollah in Lebanon. That actually provides a common interest to the Sunni Arab world and Israel.

Antara yang disiarkan dalam New Yorker bertarikh 26 Februari 2007 [4];

To undermine Iran, which is predominantly Shiite, the Bush Administration has decided, in effect, to reconfigure its priorities in the Middle East. In Lebanon, the Administration has coöperated with Saudi Arabia’s government, which is Sunni, in clandestine operations that are intended to weaken Hezbollah, the Shiite organization that is backed by Iran. The U.S. has also taken part in clandestine operations aimed at Iran and its ally Syria. A by-product of these activities has been the bolstering of Sunni extremist groups that espouse a militant vision of Islam and are hostile to America and sympathetic to Al Qaeda.

Realiti hubungan antara negara negara Sunni dan Israel, antaranya diulas oleh belfcenter.org bertarikh 29 Mac 2007 [5];

For the first time in the Middle East, there is now an organic and parallel common interest between Israel and Sunni Arabs. They now need each other to balance and combat Iran’s increased power and clout in the region. Could this shared interest become an opportunity to finally enhance the chances of a lasting peace in the area? Such an opportunity is now here and may be a solution for the political impasse.

Seorang wartawan pro-Israel di AS, Jeffrey Goldberg, penulis di majalah The Atlantic isu Julai/Ogos 2009 menyuarakan pemerhatiannya dalam satu tulisan yang panjang bahawa rejim-rejim Arab ketika itu kelihatan lebih bersikap kritikal terhadap Iran, berbanding Israel itu sendiri.

Antara yang dikatakan dalam tulisan pada 2009 itu [6];

“.. Bahawa Iran mewakili ancaman sebenar kepada Israel, dan oleh itu masuk akal bagi Israel untuk berdamai dengan Palestin dan sekutu Arab mereka untuk menghadapi ancaman bersama Iran”

▪️ Mencetuskan Istilah Bulan Sabit Syi’ah

Istilah Bulan Sabit Syi’ah (shia crescent) diangkat oleh Raja Jordan yang beraliran Sunni pada penghujung 2004 [7]. Ia dilihat sebagai signal keretakan hubungan negara Islam dengan berlapik alasan mazhab. Kawasan yang ditandai sebagai Bulan Sabit Syi’ah ini merangkumi Iran, Iraq, Syria, and Lubnan. 

Istilah ini kemudiannya disebut-sebut dan diwacanakan khususnya di dunia Barat, khususnya pada 2007. Ia sebagai gambaran negatif wujudnya gerakan melebarkan jalur Mazhab tersebut. Perkara ini disebut oleh Ian Black dalam The Guardian [8] pada 2007 di bawah tajuk Fear of a Shia full moon;

“Events are proving that the king of Jordan was right to warn of a ‘Shia crescent’ across the Middle East – even though the phrase was a tad undiplomatic, writes Ian Black”

Beliau menyatakan lagi;

The king’s words were certainly prescient: the divide between Sunni and Shia Muslims looks like being one of the big themes of 2007 as both come to terms with the apparently unstoppable chaos in Iraq, the rise of Iran as a regional power, and the fear of new and catastrophic consequences if the US and/or Israel enter into armed confrontation with the Islamic republic.

Justeru, kita perlu sedar, propaganda untuk menakutkan orang terhadap istilah ini mengheret kepada rasa bimbang umat Islam terhadap bahaya Syi’ah. Dengan kata lain, asalnya Amerika ingin mengerat Iran. Jadi, mereka jelmakan dalam bentuk kempen anti-Syiah.

▪️ Kesimpulan

Apa yang kita saksikan hari ini, Barat konsisten untuk kaitkan tindakan Iran itu dengan mazhab Syi’ah. Dalam Sidang Majlis Keselamatan PBB pada 15 April 2024 baru baru ini, Duta Besar Israel cuba menarik simpati (play victim) dengan menuduh tindakan Iran membalas serangan adalah sebagai tindakan ganas Syi’ah yang tidak menghormati al Aqsa.

Wakil tersebut mengatakan bahawa Iran cuba mengukuhkan aliran Syi’ahnya sepertimana yang dilakukan oleh Nazi. Bahkan, beliau mendesak supaya dunia menghentikan tindakan Iran tersebut kerana boleh mengheret kepada perang dunia. [9]

Di sini kita dapat fahami bahawa Barat begitu konsisten untuk menghilangkan fokus umat Islam. Sepatutnya mengecam tindakan Israel, dan menyokong mana-mana kuasa yang bertindak ke atas pertubuhan haram itu, tetapi dialihkan kepada kebencian atas alasan perbezaan mazhab.

Antara bentuk kempen yang dilakukan samada sedar atau tidak, ialah mula menyegarkan kembali perbincangan tentang Syi’ah dan kesesatan mereka. Para asatizah yang tidak mencermati perkara ini, turut sama mengadun isu ini menjadi isu sengketa mazhab. Bercakap seolah-olah kita sedang berada di Saidina Mu’awiyah RA.

Oleh 

USTAZ MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL

Pautan:

[1] https://www.fbi.gov/history/famous-cases/osama-bin-laden 

[2] https://1997-2001.state.gov/global/terrorism/1996Report/overview.html 

[3] https://www.haaretz.com/1.4863414 

[4] https://www.newyorker.com/maga…/2007/03/05/the-redirection

[5] https://www.belfercenter.org/…/emerging-sunni-israeli…

[6] https://www.theatlantic.com/…/how-iran-could…/307502/ 

[7] https://www.nbcnews.com/id/wbna6679939 

[8] https://www.theguardian.com/world/2007/jan/26/worlddispatch.ianblack 

[9] https://www.youtube.com/watch?v=n5Q5_RwDfRw  – HARAKAHDAILY 19/4/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -