Potongan subsidi petrol, mana janji manis PH?

Muhammad Hanif Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setelah berbulan lamanya pemimpin Kerajaan Madani menafikan bahawa subsidi minyak petrol akan ditarik, namun akhirnya Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli mengaku juga pengurangan subsidi petrol tetap dilaksana tahun ini.

- Advertisement -

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, kerajaan mengurangkan subsidi petrol tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara.

“Penjimatan fiskal yang dikejar Kerajaan Madani secara atas kertas memanglah kelihatan bagus untuk negara. Namun, dalam kegopohan hendak berjimat kerajaan harus lihat juga kedudukan poket rakyat.

“Potongan subsidi minyak jika dilaksanakan secara salah akan menyebabkan inflasi berganda,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, pada hari ini.

Beliau berkata, Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) pernah menyatakan pemotongan subsidi harus dilaksanakan secara bertahap bagi mengurangkan impak inflasi yang sedia ada dijangka meningkat tahun hadapan.

“Mampukah poket rakyat bertahan dalam keadaan harga barang mentah pun telah naik berganda setelah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dinaikkan dan keadaan ringgit pula terus melemah?” soalnya.

Beliau berkata, nilai Ringgit yang semakin lemah telah meningkatkan lagi kos bahan mentah kerana hampir 60 peratus bahan makanan negara diimport.

“Jika benar rasionalisasi subsidi nak dilaksanakan, Rafizi dan Kerajaan Madani sepatutnya pastikan Pangkalan Data Utama (PADU) dan mekanisme baharu subsidi bersasar benar-benar terbukti berkesan dan diuji terlebih dahulu.

“Kita pernah saksikan bagaimana kesan yang dapat dilihat apabila kerajaan gopoh dalam melaksanakan satu-satu polisi sebagaimana penerimaan terhadap PADU apabila sistem itu dilancarkan.

“Menteri mungkin sibuk ingin mengejar petunjuk prestasi utama (KPI) dan nampak ‘perform’ (buat kerja), tapi cubalah turun padang dan lihat realiti. Teori dan formula kamu atas kertas tidak semestinya sama dengan apa yang berlaku di lapangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2024

- Advertisement -