Islam selamatkan 100 mangsa serangan pengganas di Moscow

Islam Khalilov bertindak pantas membantu mangsa serangan pengganas di Moscow pada Jumaat, 23 Mac lalu. (FOTO: X@Ramzy Baroud)
- Advertisement -

MOSCOW: Seorang pelajar berusia 15 tahun telah dipuji kerana keberaniannya yang menyelamatkan lebih 100 individu ketika serangan pengganas di konsert rock di Moscow baru-baru ini.

Ketika serangan dan tembakan bermula di Crocus City Hall pada malam Jumaat itu, Islam Khalilov, dilaporkan sedang bekerja sebagai penjaga bilik pakaian di bangunan berkenaan.

Dia kemudiannya memberikan bantuan kepada orang ramai dengan membawa mereka ke laluan kecemasan untuk keluar dari bangunan tersebut, sekaligus mengelakkan sebarang kecederaan berlaku kepada mereka, lapor agensi berita, Al-Alam.

- Advertisement -

Tindakan berani Islam yang kekal tenang walaupun dia melihat lelaki di hadapannya telah ditembak, dengan memberikan bantuan kepada orang ramai di situ telah menyelamatkan banyak nyawa. 

“Arah sana, arah sana. Semua orang pergi ke arah sana. Pergi ke (tapak) Expo, ke arah Expo,” jerit Islam kepada orang ramai di lokasi kejadian.

Islam memaklumkan pada awalnya, dia mendengar bunyi pelik dari tingkat satu. Namun dia menganggap ia datang dari sekumpulan pengunjung yang datang dan membuat bising. 

Tidak panik lihat lelaki ditembak

Kemudian, dia melihat orang ramai mula berlari ketakutan. Selepas itu, dia melihat seorang lelaki ditembak di hadapannya, dan dia tahu perlu menyelamatkan diri dan membantu orang lain. 

“Saya tahu jika saya tidak bertindak pantas, saya akan kehilangan nyawa sendiri dan  begitu juga nyawa orang lain. Sejujurnya, ia sangat menakutkan.

“Ketika saya bersama-sama dengan orang ramai menuju ke pintu untuk membukanya, saya ingatkan ada lelaki bersenjata akan datang dari tangga atau eskalator dan membaling bom atau menembak.

“Syukur tiada apa-apa berlaku. Saya berjaya buka pintu tepat pada waktunya bagi memastikan orang ramai keluar menuju ke tapak Expo untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam dan Majlis Mufti Rusia dalam pada itu telah menganugerahkan Islam, pingat Anugerah Keberanian berikutan tindakan beraninya yang telah menyelamatkan lebih 100 nyawa pada insiden serangan terbabit.

Empat suspek ditahan cuba lari ke Ukraine

Sementara itu, AFP melaporkan empat suspek yang dituduh terbabit dalam serangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 137 nyawa didakwa semalam, Ahad (24 Mac) atas kesalahan keganasan dan diarah ditahan sementara menunggu perbicaraan.

Mahkamah Daerah Basmanny, Moscow dalam satu kenyataan berkata, keempat-empat suspek lelaki tersebut masing-masing ialah pekerja kilang di Tajikistan, Shamsiddin Fariduni; pendandan rambut, Muhammadsobir Fayzov; anak kelahiran Tajikistan tetapi tinggal di Moscow, Saidakrom Rachabalizoda; dan imigran Tajikistan yang bekerja di Moscow, Mirzoev berdepan risiko dihukum penjara seumur hidup.

Kesemua suspek berkenaan diperintah untuk ditahan sehingga 22 Mei, namun tempoh itu boleh dilanjutkan bergantung kepada tarikh perbicaraan.

Terdahulu, pihak berkuasa Russia berkata, mereka sudah menahan 11 orang berhubung kejadian tragedi serangan tersebut.

Sebelum ini, laporan media Barat melaporkan pembabitan kumpulan militan ISIS berkait tragedi itu, dan walaupun kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pembabitan Kyiv dalam kenyataannya semalam, Sabtu (24 Mac) berkata, kesemua suspek ditangkap ketika cuba melarikan diri ke Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan Amerika Syarikat (AS) bagaimanapun menolak sebarang tuduhan mengenai pembabitan Kyiv. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -