Cemar alam sekitar: Pastikan hukum dalang sebenar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembangkang mahu kerajaan memperketatkan lagi peraturan dalam pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 atau Akta 127 bagi menjamin kesihatan rakyat dan kebersihan alam sekitar.

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, selain itu kerajaan juga diminta mendedahkan dalang melakukan pencemaran, bukannya menangkap pekerja yang diupah dan menerima arahan ketua.

- Advertisement -

“Saya setuju kerajaan mengambil tindakan lebih tegas dengan mengenakan penalti lebih tinggi bagi kesalahan di bawah akta ini dan mengadakan peruntukan denda minimum dan maksimum.

“Soalan saya siapakah dimaksudkan mana-mana orang ini adakah merangkumi tuan punya kilang atau premis dan jika sampah dilonggok di tapak pembuangan (tetapi) ditangkap pekerja?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bangun membahas Rang Undang-undang (RUU) bagi melakukan Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 atau Akta 127 pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu membangkitkan contoh masalah kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah Batu 14 Jalan Kapar sehingga hari ini gagal diselesaikan oleh kerajaan.

Malah tapak pelupusan haram terbesar di Asia Tenggara itu turut mendapat perhatian media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar tempatan dan antarabangsa.

Beliau turut memetik laporan media, ratusan penduduk di tujuh kampung menderita bau busuk dan asap akibat aktiviti pelupusan sampah secara haram berlaku sejak tiga tahun lalu.

“Tujuan kita mengadakan dan meminda akta ini ialah untuk pastikan tiada pembakaran terbuka dilakukan dan usaha untuk pastikan kualiti alam sekitar kita sihat untuk rakyat.

“Yang saya mahu tahu adakah kerajaan akan mampu mengenalpasti dalang sebenar dan akta ini menjadi berkesan bukan semata-mata akademik latihan, nampak canggih sahaja,” peringatnya. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -