KUALA LUMPUR: Langkah proaktif memelihara kelestarian bumi adalah termasuk dalam tuntutan agama dengan terdapat banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang berbicara mengenainya.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, Islam menuntut menyantuni alam, sebaliknya kegagalan berbuat demikian boleh menatijahkan kemusnahan.
Beliau memetik surah ar-Rum (ayat 41) yang berbunyi, ‘Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)’.
Bersempena Hari Bumi yang disambut semalam (22 April), beliau telah menggariskan tujuh langkah boleh dilakukan individu dan keluarga dalam usaha memelihara alam dan tidak merosakkannya.
Pertama menurut beliau, guna semula iaitu beralih dari plastik pakai buang ke alternatif yang boleh digunakan semula seperti botol air, beg beli-belah, dan bekas makanan.
“Apatah lagi di musim rumah terbuka ini, semoga kita terpanggil untuk menggunakan cawan, pinggan dan sudu atau garfu guna semula atau mesra alam atau terbiodegradasi,”ujarnya.
“Kedua, hidup sederhana iaitu secara lestari yang terkenal dewasa ini adalah ‘Marie Kondo’, konsep ‘less is more’, ‘zen’ dan ‘minimalis’ di mana ia selari dengan konsep wasatiah dan zuhud diajar Islam.
“individu dan keluarga perlu merancang pembelian dan penggunaan makanan, pakaian dan segala keperluan hidup dengan bijak agar menghindari pembelian berlebihan dan mengelakkan pembaziran.
“Daripada ‘Amr bin Shuayb RA, daripada ayahnya, daripada datuknya, berkata: Rasulullah SAW bersabda, ‘Makanlah, minumlah, bersedekahlah dan berpakaianlah selagi mana tiada unsur membazir atau sia-sia’,” hujahnya bersandar hadis riwayat Ibn Majah itu.
Tambah beliau, yang ketiga adalah kempennya, amalkan ‘upcycle’ contohnya dengan membaiki pakaian, mengubah pakaian lama menjadi barang baharu, memberi pakaian terpakai yang elok kepada mereka yang memerlukan atau hantar ke pusat kitar semula fabrik.
Langkah-langkah ini menurut Nushi, mampumemanjangkan hayat penggunaan sumber sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diriwayatkan membaiki selipar dan pakaian baginda.
Beliau menyebut hadis riwayat Ahmad, “Daripada ‘Urwah bin al-Zubair RA, katanya: Seorang lelaki bertanya kepada ‘Aishah RA, “Pernahkah Rasulullah SAW melakukan sebarang kerja rumah?” Jawab Aishah RA, “Ya! Rasulullah SAW membaiki sendiri seliparnya, menjahit bajunya dan turut melakukan kerja rumah sebagaimana seseorang kamu melakukan pelbagai kerja di rumah masing-masing.”
Seterusnya langkah keempat ialah menjaga kebersihan alam yang dilakukan dengan membuang sampah mengikut prosedur betul, apatah lagi sisa elektronik.
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat ini menegur tabiat membuang sampah secara tidak bertanggungjawab bukan sahaja menyebabkan pencemaran alam sekitar tetapi juga mengundang kemurkaan Allah.
“Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan,” hujahnya bersandar ayat 77 surah al-Qasas.
Tambah Nushi, langkah kelima ialah kurangkan penggunaan tenaga elektrik dengan mematikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan dan menggunakan peralatan elektrik yang lebih efisien tenaga.
“Amalan ini bukan sahaja mengurangkan kos hidup dan mengurangkan jejak karbon kita, ia juga menjauhi pembaziran.
“Sesungguhnya orang melakukan pembaziran ialah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk sangat kufur kepada Tuhannya,” kongsinya memetik ayat 27 surah Al-Isra’.
Beliau menyatakan langkah keenam, keperluan menjimatkan air antaranya dengan segera melaporkan paip bocor di tempat awam, baiki pili yang menitis, menadah air hujan dan amalkan penjimatan air dalam kehidupan seharian.
Walaupun dalam urusan ibadah seperti wuduk juga, Islam menganjurkan penjimatan air, Abdullah Ibn Amru bin Al Ash, menurut beliau berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk.”
Lalu Baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf? Lalu Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir,” hujahnya dari hadis riwayat Ibn Majah.
“Langkah ketujuh, lakukan kitar semula dan gunakan semula produk kertas, kadbod, dan kotak untuk mengurangkan penebangan hutan dan mengurangkan jumlah sisa yang masuk ke tapak pelupusan.
“Dengan ini mudah-mudahan, kita dapat memenuhi tanggungjawab kita untuk menjaga kelestarian dan memakmurkan bumi, seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Nushi memetik surah Hud (ayat 61) yang berbunyi, “… Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. – HARAKAHDAILY 23/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!