Kisah debat tentang alam Abu Hanifah, Ateis

Alam semesta semuljadi tidak terjadi dengan sendiri. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiap perkara pasti akan ada penciptanya seperti selipar, kapal yang berlayar di laut,  termasuk fenomena alam, alam semesta, minyak, hidrogen, air dan penciptaan manusia itu sendiri.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, terdapat kisah Abu Hanifah yang berdebat dengan orang bukan Islam berkaitan dengan ketidakpercayaannya terhadap tuhan yang digelar sebagai ad-Dahriyyun ataupun Ateis.

- Advertisement -

Beliau memetik kisah tersebut, bahawa orang bukan Islam tersebut menyebut bahawa alam ini tiada pencipta dan terjadi dengan sendirinya, namun Abu Hanifah bertanyakan kembali dengan berkata berkenaan logiknya kejadian kapal berlayar di laut itu dengan sendiri.

“Mereka menjawab, ‘Memang kami tidak percaya sebab tidak masuk akal dan tidak munasabah’. Abu Hanifah berkata, ‘Kalau kapal yang biasa ini pun kita tidak boleh terima andai ia terjadi dan berlayar dengan sendiri, maka alam yang lebih hebat daripada kapal ini, takkan ia terjadi dengan sendiri?’

“Selipar pun kita tidak percaya kalau ia terjadi dengan sendiri, inikan pula kita manusia takkan kita terjadi dengan sendiri? Kita ini lebih cerdik sebab ada akal sehingga boleh menjadi guru, pegawai, ‘engineer’ (jurutera) dan sebagainya. 

“Alam ini pula, kejadiannya sangat pelik kalau kita tengok, takkan ia terjadi dengan sendiri? Inilah huraian tambahan kepada ayat ini. Allah SWT nak menarik perhatian kita terhadap fenomena alam,” terang beliau di media sosial rasmi miliknya pada hari ini.

Menurutnya, Allah SWT menarik perhatian kepada manusia berkenaan asal usul kejadian alam di langit dan bumi sebagai bukti kebenaran serta kebesaran-Nya dan asal kejadian kedua-duanya adalah satu, kemudian Allah memecahkannya dan terjadilah sepertimana yang ada pada hari ini. 

Tambahnya, setelah berpecah, terhasillah matahari, bulan, bintang, planet dan sebagainya sehingga terhasilnya teori kejadian alam yang tersohor di Barat iaitu The Big Bang Theory dan juga The Black Hole yang menjadi tumpuan kajian oleh ahli fizik teori, ahli kosmologi, penulis England dan Pengarah Penyelidikan di Pusat Teori Kosmologi di dalam Universiti Cambridge, Stephen Hawking.

The Big Bang Theory atau letupan besar hampir sama dengan apa yang diceritakan dalam al-Quran. Daripada benda yang satu, kemudian berpecah dan terhasillah bermacam-macam benda. Sains cuba nak memberitahu kepada kita tentang asal usul alam, tetapi tiada yang muktamad sebab menggunakan akal semata-mata. 

“Allah SWT  juga menyebut tentang asal usul kejadian yang bermula daripada air. Dalam satu ayat yang bermaksud,  “Adalah Arasy Tuhan berada di atas air”. Jadi, air merupakan antara kejadian terawal yang Allah SWT ciptakan. 

“Kehidupan makhluk bergantung kepada air. Tanpa makan, boleh hidup selama dua tiga hari. Tetapi, tidak boleh hidup tanpa minum lebih daripada sehari. Air menjadi keperluan bagi manusia,” kongsi beliau yang juga merupakan mantan Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Tambahnya memetik satu tulisan berkenaan air sehingga orang berperang untuk merebutnya air, dan hari ini orang berperang disebabkan oleh minyak, yang mana suatu masa nanti akan habis. 

“Sekarang orang cuba menggunakan hidrogen untuk menjadikannya sebagai sumber tenaga. Air akan menjadi keperluan utama bagi akhir kehidupan manusia sehingga membawa kepada peperangan. 

“Inilah kepentingan air dalam kehidupan. Air merupakan asas kehidupan. Daripada air, semua kehidupan hidup. 

“Kalau kita perhatikan fenomena alam ini dan mengkajinya dengan ilmu dan fakta sains, kita akan menemui kesimpulan bahawa ada pencipta kepada alam ini. 

“Alam yang hebat tidak mungkin terjadi dengan sendiri. Benda yang biasa dalam hidup pun orang kena buat. Maka, ada penciptanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -