Pertahankan Islam: Adakah bakal senasib Akmal Saleh?

Mohd Firdaus ketika hadir mewakili Pemuda PAS Jempol hadir ke IPD jempol membuat laporan polis mengenai perkataan kalimah Allah di stokin pada 14 Mac 2024. (FOTO: Facebook Mohd Firdaus Ramadzan)
- Advertisement -

JEMPOL: Pemuda PAS Jempol menyokong kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi yang bersolidariti dengan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh yang ditahan polis baru-baru ini berhubung isu stoking yang tertera perkataan kalimah Allah.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Jempol, Mohd Firdaus Ramadzan berkata, penahanan Akmal telah menimbulkan persoalan tentang adakah rakyat yang mempertahankan hal Islam dan agama di negara ini akan turut menerima nasib yang sama selepas ini?

- Advertisement -

“Kita bersuara untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan bangsa kita, tetapi bila mana ada parti blok kerajaan yang menghina Islam tidak ditahan dan disiasat di bawah akta yang sama, kami kecewa dengan keadaan ini”, katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga berasa pelik dan hairan, tentang di mana suara Presiden UMNO dan pemimpin tertinggi mereka dalam hal berkaitan penahanan Ketua Pemuda UMNO Malaysia ini.

“Adakah mereka terlalu ingin menjaga hati rakan-rakan parti politik mereka dalam kerajaan ketika ini hingga hilang jati diri sebagai pejuang agama, bangsa dan tanah air (ABATA)?”, soalnya.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa Pemuda PAS Jempol ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO kerana telah bersama-sama Pemuda PAS dan Perikatan Nasional dalam isu kalimah Allah pada stoking ini.

“Walaupun tindakan dari Presiden UMNO dalam melaporkan isu ini pada pihak PDRM agak terkebelakang sedikit selepas laporan dari pihak PAS, tetapi kami gembira kerana mereka turut bersama kami,” ujarnya.

Terdahulu, pihak Pemuda PAS Jempol dan Perikatan Nasional merupakan antara yang membuat laporan terawal berkaitan isu ini iaitu pada tarikh 14 Mac 2024, jam 11.21 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dengan nombor laporan BT KIKIR/00486/24.

“Oleh kerana itu, walaupun parti PAS tidak menzahirkan sokongan secara rasmi, tidak bermaksud PAS tidak menyokong boikot.

“Sebaliknya dalam isu menghina agama Islam, wajib dan menjadi tanggungjawab kita umat Islam khususnya PAS dan UMNO serta parti-parti Islam lain bersama-sama berganding tangan.

“Pemuda PAS Jempol akan terus bersolidariti bersama Ketua Pemuda PAS Malaysia,” katanya. -HARAKAHDAILY 8/4/2024

- Advertisement -