Jangan hilang adab dalam meraih perhatian netizen

Nurul Syazwani Noh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jangan sampai hilang nilai adab dalam mencari atau meraih perhatian netizen dalam era digital pada masa ini.

Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Malaysia, Nurul Syazwani Noh berkata, bulan Syawal akan tiba tidak lama lagi yang mana umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut kemenangan cabaran sepanjang Ramadan dengan penuh sukacita.

- Advertisement -

“Sudah tentu media sosial akan dijadikan sebagai tempat utama untuk berkongsi saat indah tetapi di era digital ini keghairahan untuk mencari perhatian netizen sering kali mengaburkan nilai-nilai adab dan etika yang telah diwarisi dari nenek moyang kita,” katanya.

Menurut beliau, ada kalanya masyarakat tempatan lupa terhadap kepentingan menjaga adab yang mana satu daripadanya ialah bersopan santun dalam berkomunikasi.

Tambahnya, meskipun media sosial memberikan kebebasan untuk menyampaikan pendapat atau ekspresi tetapi tidak seharusnya digunakan untuk menyinggung perasaan orang lain.

“Kita tetap harus memperhatikan content yang kita sampaikan dalam media sosial dan elakkan beri kandungan yang boleh menyinggung perasaan orang lain.

“Sebaiknya marilah kita menyebarkan kebaikan dan keceriaan serta membangunkan suasana yang penuh dengan kebersamaan dan saling menghormati.

“Saya juga ingin menekankan kepada setiap pengguna media sosial supaya tidak terlalu fokus pada pencapaian diri sendiri dalam mengejar perhatian netizen,” tegasnya.

Beliau mengingatkan kepada setiap umat Islam bahawa bulan Ramadan dan Syawal adalah mengenai seseorang meningkatkan hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia serta bukannya mengenai seberapa banyak like atau views yang diperoleh dalam media sosial.

Tambahnya, kandungan yang boleh merosakkan reputasi diri sendiri atau orang lain tidak perlu dilakukan kerana umat Islam perlu menjaga batas-batas yang telah ditetapkan dalam agama.

“Kita kena sentiasa peka dengan perkara-perkara sensitif adab susila orang Melayu dan umat Islam secara keseluruhan kerana kalau kita sendiri tidak menghormati adab Melayu bagaimana kita harapkan rakan-rakan bangsa lain untuk menyanjungi keindahan budaya kita?

“Maka, dengan begitu kita dapat menjalani masa-masa bahagia ini dengan penuh keberkatan dan kesucian serta memberikan inspirasi positif bagi orang lain di sekitar kita.

“Saya menggesa semua rakyat negara ini bersama-sama untuk hentikan sifat biadab yang sanggup menggadaikan adab dan kesopanan Melayu ini supaya generasi-generasi seterusnya tidak terus disuap dengan budaya songsang yang bakal menjadi norma dan diterima masyarakat pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -