Jaafar Onn meninggal dunia pagi ini

Jaafar Onn menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor pada pagi hari ini, 3 April 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negara dikejutkan dengan seorang artis tempatan terkenal, Jaafar Onn yang baru sahaja kembali ke rahmatullah pada hari ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11:30 pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah Serdang pada usia 73 tahun. Perkara tersebut disahkan oleh anak saudaranya, Fahmi Aziz menerusi hantaran di media sosial pada pagi ini. 

- Advertisement -

“Pakcik saya Jaafar Onn telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Doakan roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” tulisnya.

Difahamkan, perkara tersebut juga telah disahkan oleh seorang penyanyi yang juga merupakan rakan baik beliau, Haiza Hanafi yang dimaklumkan oleh anak angkatnya, Mohammad Hanif Hashim.

Menurut Mohamad Hanif, bapa angkatnya itu telah dikejarkan ke Hospital Serdang pada tengah malam Selasa dan dimasukkan ke zon kritikal di wad kecemasan di hospital berkenaan selepas mengalami pendarahan ketika membuang air besar.

Terdahulu, Jaafar dilaporkan telah mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu.

Berikutan itu, beliau perlu menjalani beberapa prosedur rawatan di hospital untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan kesihatannya yang merosot, sejak tahun lalu.

Anak kelahiran Muar, Johor ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Abdullah Sungai Mati, Muar sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Lanjutan St. Andrew di Jalan Saleh, juga di Muar.

Arwah yang diketahui umum begitu menyukai bunga matahari pernah membintangi filem seperti Aku No. 1, Soalnya Siapa?, XX-Ray, 18 Puasa di Kampung Pisang selain produksi drama TV termasuk Che PA Tuan Ash, Misteri Wak Leman dan Pengantin Popular. – HARAKAHDAILY 3/4/2024

- Advertisement -