‘PH tidak beretika, peralat jentera kerajaan di KKB’

Mohamed Sukri Omar dalam Sidang Media Ketua Pemuda Perikatan Nasional Selangor di Hulu Selangor, Selangor pada hari ini, 29 April 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

HULU SELANGOR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) menyelar Pakatan Harapan (PH) yang memperalatkan jentera kerajaan di Kuala Kubu Bharu (KKB) sebagai ‘tindakan yang tidak beretika dan berintegriti’ pada pilhan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Ketua Pemuda Perikatan Nasional Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, PN mengecam sekeras-kerasnya tindakan PH sewenang-wenangnya menggunakan aset kerajaan untuk berkempen.

- Advertisement -

“Rakyat tidak bodoh untuk menerimanya sebagai kebetulan. Ada 600 DUN di Malaysia dan 55 DUN lain lagi di Selangor, tetapi kerana ada pilihan raya, KKB menjadi istimewa untuk PH.”

“Pelbagai ‘gula-gula’ ditabur, tetapi apabila guna aset kerajaan, ini yang tak betul, ini yang PN lawan,” kata beliau dalam Sidang Media Ketua Pemuda PN Selangor di sini, hari ini.

“Terbaharu, peruntukan RM5.21 juta oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) jelas mempunyai agenda pancing undi dan terbukti permainannya apabila Setiausaha Akhbar Menteri KPKT sendiri yang bertanding di kerusi ‘ong’ ini,” tambah beliau.

Menurutnya, biarpun dinafikan bahawa peruntukan itu tiada kaitan dengan pilihan raya kerana pengumuman peruntukan dilakukan sebelum pilihan raya, tetapi masyarakat sekarang sudah bijak.

Turut dibangkitkan isu keputusan kerajaan negeri Selangor yang secara kebetulan mengadakan rumah terbuka peringkat negeri di KKB mengundang kecaman pelbagai pihak.

“Penutupan jalan raya sehingga 9 hari lamanya untuk majlis yang hanya berlangsung selama lebih kurang 3 jam itu adalah satu usaha terdesak untuk membeli jiwa rakyat.

“Kami turut mempersoalkan penggunaan aset dan kedudukan sebagai kerajaan dalam kempen kali ini,” tegasnya.

Turut dipersoalkan, ujar beliau adalah dalam isu rumah terbuka ini, apabila dilihat menerusi penggunaan logo Kita Selangor yang merupakan logo negeri, turut diletakkan dalam poster utama program, calon DAP bagi PRK KKB (Pang Sock Tao).

“Penduduk KKB sendiri mengeluh dan pelik dengan tindakan kerajaan Selangor menganjurkan rumah terbuka di kawasan yang tidak sesuai, sedangkan banyak lagi tempat lain yang lebih sesuai dan selesa.”

“Tindakan itu bukan sahaja menyusahkan aktiviti rakyat, tetapi juga memberi kesan kepada peniaga-peniaga di kawasan tersebut.”

Menurut beliau, penyalahgunaan aset kerajaan ini bahkan turut mendapat kritikan daripada NGO Bersih yang selama ini dilihat mesra kepada PH sendiri. Tindakan PH menganjurkan rumah terbuka negeri Selangor menggunakan aset kerajaan dilihat melanggar peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).

“Jika benar PH anak jantan, bertandinglah secara sihat. Jangan manipulasi jentera mahupun wang rakyat untuk kepentingan politik,” kata beliau lagi.

Menurut Sukri lagi, masalah yang sekian lama membelenggu warga KKB berkaitan sebuah kawasan eko-pelancongan, infrastruktur asas seperti jalan raya yang baik wajar direalisasikan.

“Contohnya jalan Lembah Beringin-Kerling yang amat diperlukan untuk dinaiktaraf bagi kemudahan warga KKB untuk ke pekan-pekan kecil lain.

“Selain itu, isu kemudahan talian internet yang lemah juga menjadi fokus utama bagi warga KKB.

“Sepatutnya isu seperti ini tidak berlaku di negeri yang sekaya dan semaju Selangor. Buktinya hampir 68 aduan bertulis daripada rakyat berkenaan masalah talian internet di Hulu Selangor.” tegasnya lagi.

Tambah beliau, jelas Misi 4-0 PN sedang dirasai daripada gelombang rakyat sedang bersama PN. Mengikut laporan terkini, keputusan MCA yang tidak mahu ‘turun padang’ membantu DAP membuatkan jumlah 95 peratus masyarakat Cina semakin merudum.

“Pelbagai kegagalan kerajaan Madani dalam menunaikan janji mereka terhadap rakyat khususnya dalam isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat akan mendorong rakyat merentas kaum dan agama untuk berfikir dua kali sebelum mengundi mengikut sentimen,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

- Advertisement -