Militan serang unit polis trafik Rusia: Dua maut

Lokasi serangan militan di wilayah Karachay-Circassian di Caucascus Utara, Rusia.
- Advertisement -

CHERKESSK: Dua pegawai polis terbunuh dan empat lagi cedera dalam serangan militan ke atas unit polis trafik di wilayah Karachay-Circassian di Caucasus Utara, Rusia.

Kementerian Dalam Negeri cawangan wilayah berkenaan dalam satu kenyataan berkata, dua pegawai polis yang dipinjamkan dari cawangan Kementerian Dalam Negeri di Wilayah Kurgan terbunuh dalam kejadian lewat Ahad (28 April) itu.

- Advertisement -

“Dua pegawai dari Jabatan Polis Trafik Kementerian Dalam Negeri di Wilayah Karachay-Circassian, seorang anggota unit Pengawal Kebangsaan wilayah dan seorang pegawai polis dari Wilayah Kurgan mengalami kecederaan. Lima penyerang terbunuh di tempat kejadian,” kata kenyataan itu.

Menurut kementerian itu lagi, penyerang telah memandu ke pos polis trafik sementara itu, melemparkan bahan letupan ke arah anggota polis yang bertugas sambil melepaskan tembakan menggunakan senjata automatik, lapor agensi berita Rusia, TASS.

Kumpulan pegawai polis di situ kemudian bertindak balas dengan senjata api; sementara itu, alat letupan yang dibawa oleh salah seorang penyerang berjaya diletupkan; dengan beberapa alat letupan improvisasi ditemui di tempat kejadian.

“Siasatan telah dilancarkan terhadap serangan itu,” kata jurucakap cawangan serantau Jawatankuasa Penyiasatan Rusia dalam satu kenyataan.

Menurut penyiasat, penyerang mungkin terlibat dalam serangan ke atas skuad polis di bandar Karachayevsk pada 22 April lalu. – Agensi – HARAKAHDAILY 29/4/2024

- Advertisement -